Lelaki cedera parah keluar suara wanita tua selepas pembedahan - “Ada seseorang muncul waktu Maghrib” - Mistik | mStar

Lelaki cedera parah keluar suara wanita tua selepas pembedahan - “Ada seseorang muncul waktu Maghrib”

Tangkapan skrin (sreenshot) dari Twitter Muhammad Haziq (gambar kanan) mengenai keadaan saudaranya selepas pembedahan akibat kemalangan. Gambar dari Twitter Muhammad Haziq.

"PERTAMA kali tengok video dia meracau, memang meremang bulu roma saya," demikian kata Muhammad Haziq Ahmad mengenai satu video yang dimuatnaik di laman Twitternya, baru-baru ini.

Bercerita kepada mStar, Muhammad Haziq berkata, individu yang meracau di dalam video tersebut adalah saudaranya yang ketika itu baharu saja menjalani pembedahan ekoran mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati ke Dungun kalau terserempak pemandu selubung putih pandu Ford Laser kuning 

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa nenek berjalan di wad pukul 2 pagi? Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan tampil beri penjelasan 

"Video itu sebenarnya dirakam oleh ahli keluarga yang lain, yang kemudian dikongsi dalam group Whatsapp oleh abang saya. Saya muat naik di Twitter sekadar untuk berkongsi.

"Ketika itu, salah seorang kakak saya sudah memberi amaran, kalau lemah semangat, jangan buka. Dan memang, ketika saya membukanya, memang meremang dan apa yang boleh saya katakan, itu bukanlah suara sebenar saudara saya," katanya.

Dalam video berdurasi 39 saat yang dikongsi di Twitternya, jelas kedengaran suara saudara lelakinya berubah seolah-olah mirip suara seorang wanita tua.

Anehnya, dia hanya alami kejadian itu sewaktu Maghrib. Kejadian itu katanya berlaku beberapa kali.

MUHAMMAD HAZIQ

Ketika dirakam, saudara lelakinya baru selesai menjalani pembedahan memasukkan plat selepas patah kedua-dua belah paha, rusuk dan pergelangan kaki akibat kemalangan membabitkan dua buah lori.

Menurut Muhammad Haziq, lebih menyeramkan, saudara lelakinya itu memberitahu sering dikunjungi seseorang yang tidak dikenali menjelang waktu Maghrib.

"Kira-kira seminggu selepas dia kemalangan, saya ada pergi melawatnya. Ketika itulah, dia membuka cerita kepada abang ipar saya bahawa dia sering ternampak sesuatu seperti ada yang melawatnya, tetapi tak nampak muka.

"Anehnya, dia hanya alami kejadian itu sewaktu Maghrib. Kejadian itu katanya berlaku beberapa kali," cerita anak muda berusia 24 tahun itu.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Haziq berkata, ahli keluarga terdekat kepada saudara lelakinya itu ada mencuba rawatan Islam sebagai alternatif.

"Ada juga sepupu tolong, minta ustaz yang dikenalinya untuk cuba ubatkan. Dari apa yang diberitahu oleh ustaz itu, memang ada sesuatu yang mahu berkawan dengan saudara saya tu. Terpulang mahu percaya atau tidak.

"Tapi, ada juga sesetengah orang yang cakap, meracau tu kesan daripada ubat bius. Wallahualam,"ujarnya.

Tambah Muhammad Haziq, sehingga kini saudaranya masih dirawat di sebuah hospital di pantai timur.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
meracau , suara pelik , Hospital Temerloh

Artikel Lain