suria

‘Baker terpilih’ tak keruan siapkan kek Tunku Azizah, bayi dalam kandungan seolah faham ibu... “Saya tak tidur seharian”

Akmalina seakan-akan tidak percaya dapat menghasilkan kek untuk Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

BUKAN senang nak dapat peluang menghasilkan kek untuk golongan kenamaan lebih-lebih lagi individu yang diraikan itu adalah Raja Permaisuri Agong.

Namun Akmalina Mohamed, pengusaha bakeri di Kuantan bagaikan bermimpi apabila diberi kepercayaan oleh Yayasan Pahang (YP) untuk menghasilkan kek sempena hari kelahiran Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah mengaku guna produk penjagaan kulit ‘orang kebanyakan’, “Kami semua suka tengok Tuanku dekat dengan rakyat”

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak jadi isteri Tengku Hassanal kena pandai makan durian, gulai tempoyak, kena siap baju dari kepala sampai kaki” - Tunku Azizah

"Saya sendiri pun tak sangka, rasa macam mimpi... memang tak pernah terlintas langsung. Sebelum ni selalu tengok orang lain dapat buat (kek) untuk VVIP.

"Jadi bila dapat order tu saya rasa nak nangis sebab happy dan terharu sangat-sangat. Saya ni bukanlah baker yang hebat sebab saya percaya ramai lagi (baker) hebat dekat Kuantan ni.

Paparan skrin posting berkenaan.

"Alhamdulillah atas rezeki yang Allah berikan ini. Saya antara insan terpilih untuk buat kek sempena belated birthday Tuanku," katanya kepada mStar.

Menurut wanita berusia 35 tahun itu dia mengambil masa selama sehari untuk menyiapkan kek tiga tingkat itu.

"Ini tempahan paling mencabar pernah saya terima. Saya tak tidur seharian (24 jam). Perasaan takut semua ada sebab buat kek untuk Tuanku bukan calang-calang orang.

"Jadi saya nak buat sehabis baik untuk baginda. Saya dimaklumkan Tuanku suka kek nutella dan bunga orkid, jadi saya gabungkan dua elemen itu dari atas sampai bawah.

Upacara memotong kek.

"Walaupun struggle nak siapkan kek itu bersendirian, saya puas hati. Alhamdulillah baby dalam perut pun tak banyak ragam sekali gus memudahkan kek itu disiapkan tanpa sebarang masalah," katanya.

Baginda juga drive sendiri tak ada escort. Memang lain sangat... senang cerita baginda memang sempoi.

AKMALINA MOHAMED

Akmalina atau lebih mesra disapa Kema bagaimanapun terkilan kerana tidak berpeluang bertentang mata dengan Tunku Azizah semasa menghantar kek tersebut ke Yayasan Pahang, petang Rabu lalu.

"Kalau ikutkan memang nak sangat jumpa Tuanku tapi tak ada rezeki. Waktu saya pergi tu Tuanku tak sampai lagi.

"Ramai staf Yayasan Pahang yang dah standby dekat tempat high tea tu tapi saya cuma serah kek tu dan terus balik," katanya.

Ibu kepada empat orang anak itu turut berharap agar Tunku Azizah berpuas hati dengan kek air tangannya itu.

Kek yang dihasilkan oleh Akmalina.

"Saya harap Tuanku suka dan terima kasih kepada beri peluang kepada saya. Saya amat terharu," katanya yang bakal bersalin anak keempat pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Kema yang berasal dari Taiping, Perak turut memuji keperibadian Tunku Azizah yang disifatkannya sebagai amat unik.

"Saya asal Taiping, Perak tapi dah lebih 10 tahun tinggal di Kuantan. Gembira bila tengok Tunku Azizah jadi permaisuri Agong. Baginda seorang yang sangat merendah diri.

"Dulu saya selalu tengok baginda pergi mall bawa anak-anak baginda yang masih kecil. Baginda macam biasa je. Datang tanpa ada bodyguard cuma ada maid yang jaga anak-anak baginda.

"Baginda juga drive sendiri tak ada escort. Memang lain sangat... senang cerita baginda memang sempoi," katanya.

Komen Tunku Azizah di Twitter.

Dalam pada itu, Tunku Azizah turut memberi respons positif terhadap kek dihasilkan Kema.

"Sedap kek! Very moist!," tulisnya di Twitter.

Tweet mengenai kek tersebut berserta beberapa keping gambar Tunku Azizah memotongnya dikongsi Ana Najia yang juga anak buah kepada Kema turut diulang kicau baginda.

Rata-rata netizen memuji kemasan pada kek yang nampak simple tetapi elegan.

"Alhamdulillah... cantik kek tu awak, rasa mesti tip top... kemasan pun nice," tulis Keliwon.

"Bunga betul ke tu? Simple tapi lawa dan nampak elegan. Mungkin sebab penambahan bunga tu kot. Serius lawa dan terliur laa pula. Suit very well with the queen i guess," tulis Hidayah.

Tunku Azizah menyambut hari ulang tahunnya ke-59 pada 5 Ogos lalu.

Permaisuri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu diputerikan pada Jumaat, 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain