TINDAKAN sekumpulan kanak-kanak lelaki melakukan aksi 'samseng' mengundang kemarahan warga netizen yang dianggap sebagai sangat biadap.
Kumpulan kanak-kanak bertindak membaling baru ke arah kenderaan yang lalu lalang di sebuah jalan di Taman Tun Perak, Cheras malah mereka juga turut dirakam terbaring di jalan raya.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga dilihat cuba merosakkan barang-barang di sebuah premis yang ditutup ketika itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Aksi Geng Basikal Lajak Bikin Netizen Panas Hati
Seorang remaja, Mohd Syazwan Kamaruddin,19, memberitahu kepada mStar dia mendapat video itu daripada kumpulan sembang WhatsApp keluarganya.
"Kejadian kemungkinan sebelum Raya Haji minggu lalu. Mereka melakukan aksi-aksi itu di kawasan rumah saya di Taman Tun Perak, Cheras.
"Memang saya terkejut juga dengan perangai mereka yang mengganggu kenderaan dengan membaling batu.
"Saya tidak tahu apa masalah mereka semua. Bagi saya budak-budak ini sengaja melakukan perangai begitu kerana ingin rasa seronok dan hebat. Lebih-lebih lagi mereka berkumpulan," ujarnya kepada mStar.
Menurut Syazwan, dia tidak berkesempatan untuk meronda kawasan terbabit dan bertemu dengan kanak-kanak itu kerana bekerja.
“Kalau jumpa mereka sudah tentu saya akan tegur perangai yang tak baik tu. Saya sangat berharap mereka tidak mengulanginya kerana ia membahayakan orang lain," jelasnya.
Syazwan memuat naik video kanak-kanak membaling batu ke arah kereta pada Rabu dan mendapat lebih 7,000 ulang kicau.
Selepas itu dia turut memuat naik dua lagi video yang menunjukkan tindakan kumpulan kanak-kanak itu membuat kecoh di premis perniagaan dan aksi berbaring di jalan raya.
Video-video tersebut turut mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya akan menghubungi pihak berkuasa untuk memberi kerjasama dalam memberi maklumat perkara berkaitan," jelasnya ringkas.


