suria

Pelanggan terkejut, anggap penemuan straw terendam dalam air sabun sebagai ‘kotor’... Netizen tanya “apa masalahnya?”

LARANGAN penggunaan penyedut minuman atau straw plastik semakin diperluaskan ke beberapa negeri bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar.

Maka tidak hairanlah kebanyakan premis makanan tidak lagi menggunakan straw plastik, sebaliknya menyediakan alternatif berupa straw kertas dan besi.

Namun lain pula pengalaman yang dialami seorang pengunjung di sebuah restoran apabila mendedahkan tentang sesuatu yang mencurigakan selepas mahu mencuci tangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Terbantut selera! Spageti aglio olio hampir licin, baru nampak lipas sembunyi dalam kupang

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh selit kain lap meja tepi tong sampah... netizen sindir kedai nasi kandar

Sekeping gambar yang dikongsikan di laman sosial Twitter menunjukkan selonggok straw plastik yang direndamkan di dalam bekas berisi air sabun.

Perkongsian seorang pelanggan di sebuah restoran berhubung penemuan yang mengejutkannya.

Walaupun tujuan perkongsiannya itu menyentuh isu kebersihan dan kesihatan, tetapi dia dikecam netizen kerana dianggap membuat posting tidak masuk akal.

“Pakcik saya pernah cakap kalau sudu garfu boleh pakai balik kenapa straw tak boleh? Padahal sama je masuk mulut,” soal seorang netizen. 

“Dah tu kalau dah basuh apa masalahnya? Bersih kan,” tulis seorang lagi pengguna.

“Lepas ni kalau dah habis minum korang tepuk straw biar pecah,” cadang seorang lagi netizen.

“Lepas ni aku nak bawa gunting terus, gunting straw tu bahagi dua biar jadi pendek,” katanya.

“Straw tu jatuh dekat lantai kot. Yelah, tengah nak isi straw baharu dalam bekas, tiba-tiba bekas straw dengan straw tu jatuh. Tu yang diaorang cuci tu. Nak buang pula sayang,” menurut seorang netizen membuat andaian.

Komen netizen mengenai straw plastik dalam bekas berisi air sabun.

Pelanggan berkenaan, Mohamad Azizi Hafiz Mohd Yahya berkata, kejadian berlaku semasa berkunjung ke sebuah restoran nasi ayam bersama isteri, Sabtu lalu.

Pemuda berusia 26 tahun itu memberitahu, ketika itu dia mahu mencuci tangan di sinki dapur restoran sebelum menikmati makanan.

“Sampai di sinki, saya terus terkejut apabila nampak ada bekas berisi straw plastik yang direndam dalam air sabun. Rasa nak marah pun ada.

“Saya ada rasa curiga dan apa yang saya rasa, ia dibersihkan menggunakan air sabun untuk digunakan semula buat pelanggan lain,” katanya kepada mStar.

Dulu saya pernah minum air di restoran dan rasa macam sabun. Saya sangka gelas tidak dicuci dengan bersih. Tapi selepas apa yang saya nampak, mungkin itulah sebabnya air yang saya minum guna straw plastik ada rasa sabun.

MOHAMAD AZIZI

Jika perkara itu benar, dia menyifatkan tindakan straw plastik digunakan semula untuk pelanggan lain sebagai tidak wajar.

“Kenapa nak asingkan dan rendam dalam air sabun. Bukankah ada bekas yang sesuai untuk mengisi straw tu. Kalau ia digunakan semula, itu satu tindakan yang pengotor!

“Dulu saya pernah minum air di restoran dan rasa macam sabun. Saya sangka ia disebabkan gelas yang tidak dicuci dengan bersih.

“Tapi selepas apa yang saya nampak, mungkin itulah sebabnya air yang saya minum guna straw plastik ada rasa sabun,” tambah penjawat awam itu.

Straw-straw yang direndam dalam bekas yang mengandungi air sabun.

Sehubungan itu, Mohamad Azizi menyahut kempen untuk tidak menggunakan straw plastik demi keselesaan dan kesihatan pengguna bersama.

Ditanya sama ada dia mahu membuat aduan terhadap pemilik restoran berkenaan berhubung penemuan itu, Mohamad Azizi berkata dia mahu berbuat demikian pada awalnya tetapi kemudian disarankan oleh isteri untuk tidak mencetuskan kekecohan.

“Kami tak jadi guna straw plastik di restoran itu. Dan selepas menyaksikan straw plastik direndam dalam air sabun, saya tidak lagi mahu menggunakannya selepas ini.

“Tiada permintaan, tiadalah penawaran kan. Premis makanan sudah boleh mula menyediakan alternatif lain, sama ada menggunakan straw kertas atau besi,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
straw, sabun

Artikel Lain