Dakwaan logo TMM 2020 diciplak, ini jawab menteri - Viral | mStar

Dakwaan logo TMM 2020 diciplak, ini jawab menteri

Kontroversi logo kempen TMM 2020 yang tular di media sosial.

LOGO kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 yang baharu dilancarkan pada Isnin adalah asli dan tidak menciplak rekaan lain, kata Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menafikan dakwaan bahawa logo rasmi kempen TMM 2020 yang baharu menggabungkan ilustrasi lain dalam gabungan reka bentuknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Logo lawat Malaysia 2020 dilancar

Beliau berkata, pereka grafik yang mereka logo TMM 2020 merupakan pemegang ijazah kelas pertama dalam reka bentuk grafik.

"Pemegang ijazah kelas pertama tidak akan memalukan dirinya dengan meniru karya orang lain.

"Hanya mereka yang tidak pandai akan meniru orang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Reproduksi Leonardo Opera Omnia yang pertama kali diadakan di Balai Seni Negara, di Kuala Lumpur.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai logo rasmi kempen TMM 2020 di mana gaya reka bentuk burung enggang di dalam rekaan itu, digantikan dengan sebahagian logo Hornbill Studios.

Walau bagaimanapun, tanduk yang digunakan dalam logo TMM 2020 tidak sama seperti reka bentuk asli, dan boleh didapati di beberapa laman stok foto di Internet.

Mohamaddin berkata, tiada keperluan untuk mengubaj logo TMM 2020 hanya kerana sumber tanpa nama membuat tuduhan liar di media sosial.

"Kita tidak perlu bertindak balas terhadap kritikan yang tidak bijak ini," katanya. - The Star

logo , TMM 2020

Artikel Lain