suria

“Bukan yakin menang, sebab sahut cabaran” - Suami blogger beli stroller RM3,000 jawab isu bersorak 'saman netizen', nafi tiru iklan Gmarket Korea

Jofliam berkata iklan berkenaan diinspirasikan dari video acara anugerah Korea Selatan.

SELEPAS terpalit isu stroller bayi RM3,000 dan kes saman netizen, nama penulis blog popular Cik Epal dan suaminya, Jofliam sekali lagi dilanda kontroversi.

Kali ini, Jofliam yang juga pengasas produk minuman kesihatan Fairfit Malaysia didakwa meniru iklan laman beli-belah dalam talian Korea Selatan, Gmarket Korea.

Video persamaan antara dua iklan tersebut dimuat naik ke laman Twitter pada Sabtu dan ia sehingga kini menerima lebih 11,000 ulang kicau (Retweet).

ARTIKEL BERKAITAN: Malas nak patah balik rumah, suami beli stroller baharu RM3,000 untuk anak... Isteri kata “nasib baik dia cerdik”, tak riyak

ARTIKEL BERKAITAN: Terpulanglah... blogger tak kisah dikecam beli beg tangan mewah sebab pengikut nak tahu harga je

Bercakap kepada mStar, Jofliam menafikan pihaknya meniru Gmarket Korea, sebaliknya iklan tersebut diinspirasikan dari sebuah video acara anugerah.

"Saya dah rujuk peguam dan telah buat persediaan. Jika disaman, kami akan lawan dan jika minta diturunkan, kami akan akur.

"Secara jujur, saya tak meniru Gmarket. Saya ambil inspirasi dari video award Korea dan baru tahu, rupanya video award itu berinspirasikan dari Gmarket,” ujarnya sewaktu dihubungi pada Ahad.

Ada pihak kata saya memalukan mereka dengan mengumumkan nama itu. Itu satu tanggapan yang salah. Dalam defamation, sangat perlu untuk kita membuat pengumuman saman kerana ini melibatkan reputasi.

JOFLIAM

Bercerita mengenai iklan tersebut, Jofliam berkata ia dihasilkan sekitar dua tahun lalu.

Malah katanya, jika dibawa ke mahkamah, tentunya ia akan mengambil masa lama untuk dibuktikan kesahihannya.

"Mengikut kefahaman saya, apa-apa idea terutama iklan bervideo ni memang sukar di'patent'kan copyright.

"Boleh saman tapi ambil masa nak buktikan, tapi saya percaya idea sendiri sepatutnya lebih elok. Itu video pertama saya di awal kemunculan Fairfit dulu.

"Video tu dah lama, cuma dibangkitkan semula kali ini dari pihak tertentu. Semuanya bermula dari kisah saman kami terhadap tiga individu di Twitter," katanya lagi.

Dalam pada itu, pendedahan video yang didakwa meniru iklan Gmarket Korea itu turut dihujani komen-komen netizen di laman Twitter.

Paparan skrin posting di Twitter oleh seorang individu.

Malah, ramai yang turut membuat pautan kepada akaun Twitter rasmi @gmarketstory dan @gmarketglobal agar perkara itu disiasat.

Video iklan asal Gmarket Korea menampilkan penyanyi kumpulan Super Junior, Kim Heechul.

"@gmarketstory boleh siasat perkara ini? Seseorang telah plagiat salah satu iklan Kim Heechul," tulis @SJprotectsquad.

"Patut la aku rasa macam pernah tengok tapi versi lain. Tapi time tu aku tak ingat. sekarang dah ingat," tulis @charmanderjinie.

Mengulas isu video saman netizen baru-baru ini, Jofliam berkata hanya sebahagian daripada rakaman asal yang ditularkan sehingga ia menerima kritikan ramai.

Ujarnya lagi, dia juga menolak tanggapan orang ramai yang menyifatkan perbuatannya bersorak dalam video pengumuman itu sebagai sesuatu yang memalukan.

"Saya nak tegaskan. Saya saman bukan disebabkan netizen cakap saya riyak, doakan kematian saya. Benda itu semua susah untuk disaman.

"Cerita sebenar, saya saman atas dasar kata-kata fitnah. Writ saman mereka nanti akan merungkai semuanya.

Jofliam, Cik Epal dan anak-anak. (FOTO Instagram Jofliam)

"Saya percaya video pengumuman yang viral itu diambil sekerat dan tidak menyeluruh. Saya bersorak bukan bermakna saya yakin dah menang. Tapi saya bersorak sebab saya menyahut cabaran mereka bahawa kes ini boleh diketengahkan dan biar bertarung secara adil," katanya lagi.

Tambah Jofliam, tindakannya bersorak sewaktu nama beberapa individu bakal kena saman diumumkan oleh peguamnya langsung tidak melanggar etika mahkamah.

"Ada pihak kata saya memalukan mereka dengan mengumumkan nama itu. Itu satu tanggapan yang salah. Dalam defamation, sangat perlu untuk kita membuat pengumuman saman kerana ini melibatkan reputasi.

"Saya bersorak tidak melanggar apa-apa etika mahkamah pun. Mungkin ada yang kata saya over, tapi semestinya yang berkata tu pihak sana," jelasnya lagi.

Baru-baru ini, pendedahan isteri Jofliam, Cik Epal mengenai pembelian stroller bayi mereka yang berharga RM3,000 turut menjadi perbualan ramai.

Susulan komen-komen netizen di Twitter, pasangan itu mengumumkan nama beberapa individu yang akan disaman sehingga ia sekali lagi menjadi perdebatan hangat warga internet.

Malah, ramai yang turut berjenaka mengenai isu saman itu sehingga nama Cik Epal sendiri menjadi trending di laman Twitter, baru-baru ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain