Orang lain buat hal, rumah sewa pelajar universiti 'mandi' cat merah... “Nyaris nak kena bunuh tadi” - Viral | mStar

Orang lain buat hal, rumah sewa pelajar universiti 'mandi' cat merah... “Nyaris nak kena bunuh tadi”

Keadaan di depan rumah sewa yang dipenuhi cat merah. Sumber foto: Twitter Cik Aisyah

IBARAT perumpamaan 'orang lain yang makan nangka, orang lain terkena getahnya' demikian hal yang menimpa dua pelajar pusat pengajian tinggi apabila nyaris dibunuh lelaki yang dipercayai ah long.

Insiden mengejutkan itu berlaku pada Isnin di sebuah rumah yang disewa pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Parit Raja, Johor.

Perkongsian tersebut dimuat naik oleh Cik Aisyah di laman Twitter untuk memberi peringatan agar pelajar-pelajar lain tidak terkena seperti dua kawannya, Adam dan Aswad.

ARTIKEL BERKAITAN: Ah Long Semakin 'Mengganas'

ARTIKEL BERKAITAN: Ah long ugut rogol isteri kalau tak langsai hutang

Menurut perbualan Cik Aisyah bersama Adam, pemilik rumah lama telah meminjam duit dengan ah long sebelum melarikan diri dan berikutan itu, rumah berkenaan dilelong.

Dua buah motosikal milik pelajar juga bermandikan cat merah. Foto kredit: Cik Aisyah

"Owner sekarang ni pun tak tahu kat mana sebab dia beli masa lelong. Kami ni mangsa keadaan.

"Ketika kejadian, Adam ada depan-depan dengan ah long. Nasib baik jiran keluar, kalau tak entah la nak jadi apa," ujar Adam menerusi mesej bersama Cik Aisyah.

Malah Adam juga turut memuat naik di Insta Storynya keadaan rumah sewa yang dipenuhi dengan cat merah.

Perkongsian Adam di Instastorynya.

Dua motosikal dan topi keledar milik mereka juga dipenuhi cat.

Tulis Cik Aisyah, jiran sebelah rumah mangsa juga memberitahu insiden sembah cat di rumah itu merupakan kali kedua.

"Untuk makluman semua, kes ini sudah sampai ke pihak polis. Urusan Adam dan rakan-rakannya, Alhamdullilah dah selesai. Terima kasih di atas doa dan perhatian kalian semua.

"Benda yang sudah berlaku kita jadikan sebagai teladan dan iktibar untuk kita semua. Terima kasih," tweet Cik Aisyah.

Perbualan mesej antara Cik Aisyah dan Adam mengenai insiden tersebut.

Sebelum itu, Cik Aisyah memuat naik status beserta gambar mengenai kejadian tersebut.

"Aku ingat ke Along baling-baling cat ni dalam drama jer, rupanya kat luar pun ada. Hati-hati student UTHM yang mencari rumah sewa.

"Dugaan final semester. Semoga Allah lindungi korang sentiasa."

Posting tersebut mendapat lebih 9,000 ulang kicau dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Ah long , mangsa , simbah cat

Artikel Lain