suria

Tiada aduan lisan, bukan sengaja abaikan mangsa peras ugut - MPP KUPTM

KUPTM mengambil tindakan tegas serta-merta ke atas pensyarah wanita yang didakwa memeras ugut pelajarnya. - Foto KUPTM

TIADA istilah sengaja mengabaikan aduan mangsa peras ugut seorang pensyarah, itulah penjelasan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) yang tampil menafikan dakwaan tidak berasas tersebut.

Dakwaan itu menunjukkan seolah-olah MPP KUPTM tidak prihatin terhadap masalah yang dihadapi pelajar kolej swasta berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak lulus atau gagal... Pensyarah 'pow' pelajar!

Muhammad Jazlie Jabarudi yang menjalankan tugas Yang Dipertua MPP KUPTM berkata, pihaknya menafikan tuduhan bahawa isu tersebut telah dibawa kepada pihak pengurusan dan MPP.

"Sepanjang sesi 2018/2019 pihak MPP tidak pernah menerima sebarang aduan secara lisan atau bertulis mengenai isu ini.

"Kami berharap semua pihak bersifat adil dalam menilai isu yang ditularkan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Muhammad Jazlie, tindakan mendakwa bahawa isu tersebut telah diadukan kepada mereka adalah tidak berasas dan boleh memberi kesan terhadap imej organisasi dan institusi.

Tambahnya, MPP KUPTM berasa kesal terhadap tindakan pensyarah yang didakwa telah meminta wang daripada pelajarnya.

Selepas kes tersebut tular di media sosial, tindakan pantas pihak pengurusan berjaya menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh 24 jam aduan diterima.

Muhammad Jazlie.

Pensyarah tersebut telah menghantar surat peletakan jawatan serta-merta sebaik kes berkenaan dipanjangkan kepada pihak pengurusan.

mStar Online pada Sabtu melaporkan seorang pelayar Twitter mendakwa seorang pensyarah wanita KUPTM memeras ugut pelajar jika ingin lulus dalam peperiksaan.

Menurut posting bekas pelajar kolej tersebut, dia mendakwa pensyarah terbabit sudah beberapa kali meminjam wang daripada pelajar dan liat untuk membayarnya semula.

Bekas pelajar tersebut turut mendakwa lebih 10 mahasiswa diugut untuk memberikan wang sehingga ada yang mencecah RM500 dengan alasan pihak hal ehwal pelajar (HEP) yang meminta wang tersebut daripada pensyarah itu.

Posting yang dimuat naik ke Twitter sehingga ia menjadi tular sebelum dipadam oleh bekas pelajar terbabit.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
KUPTM

Artikel Lain