suria

Tolak pelawaan kahwin, gadis ini diugut "aku dah screenshot gambar kau... tau lah bomoh kadi mana aku nak jumpa"

Gambar hiasan. Foto: FAIHAN GHANI/The Star

"MULA-mula minta nak kawan, lepas tu lebih-lebih pula," jelas sorang gadis yang kini dalam ketakutan selepas diugut lelaki yang tidak dikenali di Instagram.

Menurut Shahidah, sebelum ini Instagramnya tidak di 'private' dan boleh dilihat oleh sesiapa sahaja.

"Seorang lelaki ni selalu beri komen di gambar yang saya muat naik dan meminta saya DM (direct message).

"Beberapa kali saya cuba tidak menghiraukannya, akhirnya saya membuka DM sebab mungkin dia ada perkara penting untuk dikongsi.

"Rupanya dia ingin berkawan dengan saya. Jadi saya okay sahaja untuk berkawan," ujarnya yang berusia 22 tahun kepada mStar Online.

Shahidah yang berasal dari Johor ini memberitahu, lama kelamaan lelaki itu mula 'buat perangai' meminta yang bukan-bukan.

Selain Shahidah, beberapa lagi mangsa lain turut diganggu lelaki yang tidak dikenali.

"Dia mengajak saya kahwin dan beritahu keluarganya akan masuk meminang.

"Saya menolaknya dengan baik dan tidak melayan sebelum 'blocked' dia. Saya bukannya kenal dia.

"Namun dia sempat mengugut saya - "Kau dah block aku kan. Tau lah aku nak buat apa. Aku dah screenshot gambar kau. Tau lah bomoh kadi mana aku nak jumpa.'"

"Malangnya saya tidak sempat nak ambil gambar skrin kerana dia dah padam. Dia guna nama yang berbeza-beza di akaunnya. Malah bukan saya seorang yang jadi mangsa, ada pengguna wanita lain di Instagram pun turut diganggunya.

"Saya ada beritahu keluarga mengenai perkara ini sama ada perlu buat laporan polis atau tidak, tapi keluarga suruh tunggu dulu.  Kalau ada yang lebih teruk seperti dia ikut datang rumah atau mana-mana baharu buat laporan," jelasnya.

Mesej yang dihantar kepada Shahidah.

Menurut Shahidah, dia mengesyaki lelaki itu tahu tempat dia bekerja.

"Dia pernah cakap jumpa di tempat saya bekerja. Tetapi saya tidak mengendahnya.

"Mungkin ini salah saya juga kerana membalas mesej yang dihantarnya (di Instagram).

"Perkara ini buat saya jadi serik dan berhati-hati untuk menerima request berkawan dengan orang yang tidak dikenali.

"Nasihat saya juga kepada wanita lain supaya jangan layan orang yang tidak dikenali. Jangan peramah sangat.

"Jadikan kisah saya sebagai pengajaran. Biarkan orang kata kita sombong. Kita tak tahu pun perangai orang tu mcm mana.

"Dan jangan terlalu 'expose' kat sosial media. Kita tak tau siapa yang perhatikan kita kat luar sana. Tak kisahlah anda cantik atau tidak, perlu lebih berhati-hati," ujarnya yang juga pelajar di sebuah universiti swasta.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ugut, bomoh

Artikel Lain