Penarafan lima bintang INFRASTAR pada peringkat reka bentuk merupakan satu pencapaian yang signifikan dalam projek LRT3. -Foto The Star
PROJEK Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) mencatat satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur mampan negara apabila ia menjadi projek infrastruktur pertama yang menerima penarafan lima bintang Penarafan Infrastruktur Mampan (INFRASTAR) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada peringkat reka bentuk pada 2020.Pengiktirafan itu bukan sekadar meletakkan LRT3 sebagai projek pengangkutan awam berskala besar, malah memperlihatkan perubahan pendekatan dalam pembangunan infrastruktur negara yang semakin menuntut keseimbangan antara keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar. INFRASTAR merupakan sistem penilaian berasaskan objektif dan bukti yang dibangunkan CIDB bagi menilai tahap kemampanan sesuatu projek infrastruktur, khususnya pada peringkat reka bentuk dan pembinaan. Ia merangkumi enam kriteria teras iaitu pra-reka bentuk dan pra-pembinaan; tapak dan guna tanah; tenaga; ekologi dan alam sekitar; bahan, sumber dan sisa; serta sosial dan budaya.Namun, persoalan lebih besar adalah sejauh mana penarafan dan prinsip kelestarian itu benar-benar diterjemahkan kepada manfaat selepas sesuatu projek siap dan mula digunakan.Menurut Timbalan Pengarah (Ekosistem Universiti Industri dan Kelestarian), Pusat Hubungan dan Jaringan Industri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya LAr. Dr Suhardi Maulan, penilaian seperti INFRASTAR boleh mendorong pemaju, kontraktor dan pihak berkepentingan untuk melihat aspek kelestarian secara lebih mendalam.“Secara umumnya, penilaian ini akan menjadikan pemaju, kontraktor dan pihak berkepentingan mengambil kira solusi kepada aspek kelestarian dengan lebih mendalam. Ini kerana INFRASTAR pastinya akan meningkatkan nilai ‘non-monetary’ sesuatu projek dari segi alam sekitar dan persepsi sosial.“Selain itu, nilai penilaian INFRASTAR yang tinggi juga akan meningkatkan nilai dan imej sesuatu pemaju dan kontraktor dari segi keprihatinan mereka terhadap alam sekitar. Ia merupakan satu pengiktirafan yang penting untuk sesuatu perniagaan terus berkembang pada masa kini,” katanya kepada mStar.Bagaimanapun, beliau berpandangan ukuran sebenar sesebuah projek mampan tidak seharusnya berhenti pada pencapaian pensijilan.Indikator impak selepas projek selesaiMenurut Suhardi, indikator paling penting adalah impak yang ditinggalkan oleh projek dalam tempoh yang panjang selepas ia siap, misalnya selepas 10 tahun.“Indikator impak boleh diukur adalah seperti sejauh mana projek dijalankan meningkatkan kualiti alam sekitar atau sebaliknya, kesejahteraan masyarakat setempat dan peningkatan nilai ekonomi tempatan.“Dengan erti kata lain, penilaian sejurus projek tamat mungkin adalah berkaitan pencapaian pensijilan, namun penilaian impak kelestarian setelah projek lama tamat akan memberikan gambaran sebenar.“Ini juga boleh digunakan untuk melihat sama ada objektif sesuatu projek itu benar-benar tercapai,” katanya.Pandangan itu menjadi semakin relevan apabila LRT3 kini sudah memasuki fasa operasi. Laluan sepanjang 37.8 kilometer dari Bandar Utama ke Johan Setia dengan 20 stesen mula dibuka kepada pengguna pada 29 Jun 2026 dan diunjurkan memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di sepanjang koridornya.Timbalan Pengarah (Ekosistem Universiti Industri dan Kelestarian), Pusat Hubungan dan Jaringan Industri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya LAr. Dr Suhardi MaulanKelestarian perlu bermula sejak peringkat reka bentukBagi Pensyarah Kanan, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM, Ts. Dr Nur Hidayah Ahmad, cabaran utama dalam menerapkan kelestarian sering berlaku apabila elemen tersebut dimasukkan terlalu lewat dalam sesuatu projek.“Cabaran biasanya berlaku apabila kelestarian dimasukkan terlalu lewat. Kalau reka bentuk hampir siap, kos sudah ditetapkan dan jadual sudah ketat, apa-apa perubahan memang mudah dilihat sebagai kos tambahan.“Sebab itu elemen kelestarian lebih baik difikirkan sejak peringkat awal. Pada ketika itu masih ada ruang untuk memilih bahan, sistem tenaga, kaedah pembinaan dan strategi penyelenggaraan yang lebih sesuai. “CIDB juga menekankan kepentingan memasukkan elemen kelestarian pada peringkat awal reka bentuk,” katanya.Menurutnya, bagi projek mega seperti LRT3, ukuran kos tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jumlah yang perlu dibelanjakan ketika pembinaan.“Bagi projek mega, kita jangan melihat kos pembinaan sahaja. Ada pilihan mungkin sedikit lebih mahal pada awalnya tetapi lebih menjimatkan dari segi tenaga, penyelenggaraan dan pembaikan untuk tempoh panjang.“Kos paling rendah semasa membina belum tentu kos paling rendah sepanjang hayat,” katanya.LRT3: Teknologi hijau sahaja belum mencukupiDalam konteks LRT3, Nur Hidayah berkata penggunaan tenaga, karbon, bahan binaan, air dan sisa merupakan antara aspek penting yang perlu dinilai.LRT3 sendiri dilengkapi beberapa ciri kecekapan tenaga. Antaranya sistem brek regeneratif yang menukarkan tenaga mekanikal ketika tren membrek kepada tenaga elektrik untuk disalurkan kembali ke rangkaian bekalan kuasa tarikan, selain pencahayaan LED dengan kawalan pintar dan sistem penyaman udara berasaskan kawalan inverter.Bagaimanapun, beliau berkata prestasi sebenar sistem tersebut perlu dilihat bersama tahap penggunaan oleh masyarakat.“Selepas sistem mula beroperasi, kita juga perlu melihat sejauh mana masyarakat benar-benar menggunakannya."Manfaat pengangkutan awam menjadi lebih besar apabila orang mempunyai pilihan yang baik untuk mengurangkan kebergantungan kepada kereta persendirian.“Sebab itu saya akan melihat penggunaan tenaga bersama jumlah penumpang, kebolehpercayaan perkhidmatan, kos penyelenggaraan, akses ke stesen, bas perantara, keselamatan dan pengalaman pengguna.“Teknologi hijau penting, tetapi teknologi sahaja belum cukup jika sistem itu sukar digunakan oleh masyarakat,” katanya.Dalam erti kata lain, kejayaan kelestarian LRT3 tidak sepatutnya diukur hanya berdasarkan spesifikasi teknologi yang dipasang, tetapi juga berdasarkan prestasi sebenar sistem selepas beroperasi.INFRASTAR bukan sekadar jumlah bintangJusteru, Nur Hidayah berpandangan sistem penilaian seperti INFRASTAR amat penting kerana ia menyediakan kerangka yang menjadikan konsep kelestarian lebih jelas dan boleh dinilai.“Apabila ada kriteria dan bukti yang perlu ditunjukkan, pemaju, perunding, kontraktor dan kerajaan mempunyai rujukan yang sama ketika membuat keputusan.“LRT3 sendiri menerima penarafan lima bintang Sustainable INFRASTAR pada peringkat reka bentuk pada tahun 2020."CIDB menetapkan penilaian pada peringkat reka bentuk sebagai penarafan sementara atau provisional rating, manakala penarafan penuh diberikan selepas projek siap,” katanya.Kesan jangka panjang terhadap pembangunan bandar, ekonomi setempat dan alam sekitar adalah antara elemen penting yang perlu diambil kira sebelum sesuatu projek infrastruktur dilaksanakan.CIDB sendiri menjelaskan bahawa projek yang dinilai pada peringkat reka bentuk menerima penarafan provisional, manakala penarafan penuh diberikan selepas projek selesai. Sistem tersebut turut menggunakan pendekatan berasaskan bukti bagi memastikan elemen kelestarian bukan sekadar dinyatakan dalam dokumen, tetapi dapat disokong dengan bukti pelaksanaan.“Yang lebih penting ialah sama ada kriteria tersebut benar-benar mempengaruhi keputusan projek, contohnya pemilihan bahan, penggunaan sumber, pengurusan komuniti dan kos operasi.“Pensijilan sepatutnya membantu memperbaiki keputusan, bukan menjadi matlamat akhir,” katanya.Manfaat LRT3 melangkaui perjalanan penumpangLRT3 juga perlu dinilai berdasarkan kesan jangka panjangnya terhadap pembangunan bandar, ekonomi setempat dan alam sekitar.Menurut Nur Hidayah, manfaat laluan tersebut jauh lebih luas daripada sekadar membawa penumpang dari satu stesen ke stesen yang lain.“Manfaat LRT3 lebih luas daripada sekadar membawa penumpang dari satu stesen ke stesen yang lain. Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer menghubungkan Bandar Utama dengan Johan Setia, dengan 20 stesen dibuka kepada pengguna dan koridor yang melibatkan kira-kira dua juta penduduk,” katanya.Beliau berkata dalam jangka panjang, aspek yang perlu diperhatikan ialah sama ada LRT3 berjaya meningkatkan mobiliti, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan seterusnya menyumbang kepada produktiviti serta kualiti hidup masyarakat.“Kawasan sekitar stesen juga berpotensi berkembang melalui pembangunan berorientasikan transit atau TOD. Jika dirancang dengan baik, perumahan, perniagaan dan perkhidmatan boleh berada lebih dekat dengan pengangkutan awam.“Manfaat alam sekitar pula menjadi lebih nyata apabila lebih ramai orang benar-benar memilih pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian,” katanya.Pendekatan tersebut turut selari dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang menetapkan visi untuk membangunkan sektor pengangkutan mampan yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Dasar itu turut memberi penekanan kepada mobiliti rendah karbon, peningkatan penggunaan pengangkutan awam serta pengurangan kesan alam sekitar sektor pengangkutan.ARTIKEL BERKAITAN: LRT3 terima penarafan lima bintang, INFRASTAR pacu pembinaan lebih mampanARTIKEL BERKAITAN: Antara penarafan lima bintang LRT3 dan ujian prestasi sebenar kelestarian infrastrukturTiga perubahan untuk pembinaan lebih mampanDalam pada itu, Suhardi berpandangan terdapat sekurang-kurangnya tiga perubahan penting yang perlu dilakukan sekiranya Malaysia mahu mempercepatkan transformasi sektor pembinaan ke arah lebih mampan.Pertama, aspek kelestarian perlu menjadi sebahagian daripada reka bentuk infrastruktur sejak awal.“Reka bentuk infrastruktur itu perlu menekankan aspek kemampanan kerana kemampanan itu sendiri bermula dari perancangan reka bentuk. Ini kerana profesional yang terlibat seperti arkitek, jurutera dan arkitek landskap adalah mereka yang akan memberikan ‘direction’ kepada projek tersebut,” katanya.Kedua, Suhardi menekankan kesedaran dalam kalangan pemilik projek atau klien, sama ada pihak swasta mahupun agensi kerajaan, perlu dipertingkatkan.“Sebagai pihak yang memajukan kawasan, mereka harus sedar tanggungjawab mereka bukan sahaja kepada keuntungan atau kemudahan umum tetapi juga kepada alam sekitar, kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi.“Ketiga, pengurusan pembinaan itu sendiri perlu dihijaukan. Ini bermaksud penggunaan konsep perolehan hijau, penjagaan tapak pembinaan yang lestari dan juga penggunaan ‘green workers’ yang menyeluruh.“Pengurusan projek biasanya melibatkan proses akhir sebelum projek itu diserahkan kepada umum untuk kegunaan,” katanya.Ketiga-tiga perkara itu menunjukkan bahawa kelestarian tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.Ia perlu bermula daripada pemilik projek dan pasukan reka bentuk, diteruskan oleh kontraktor serta pekerja di tapak, sebelum akhirnya diterjemahkan kepada pengalaman pengguna dan komuniti.Malaysia di landasan yang betul, tetapi pelaksanaan masih menjadi cabaranPersoalannya, adakah Malaysia kini berada pada landasan yang betul dalam usaha membangunkan infrastruktur yang lebih mampan?Nur Hidayah berpandangan Malaysia sememangnya bergerak ke arah yang betul, tetapi masih wujud jurang antara dasar dengan pelaksanaan.Pensyarah Kanan, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM, Ts. Dr Nur Hidayah Ahmad“Dari sudut dasar, hala tuju sudah semakin jelas. Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 memberi perhatian kepada pengangkutan mampan, penggunaan pengangkutan awam, aksesibiliti dan ekosistem pengangkutan hijau. Dalam sektor pembinaan pula, hala tuju transformasi industri turut memberi penekanan kepada pendigitalan, kemampanan dan daya saing,” katanya.Malah, pada 2026 CIDB melancarkan Construction Action Plan 2026-2030 (CAP30), yang antara lain meletakkan pendigitalan, kemampanan dan daya saing sebagai elemen penting dalam transformasi industri pembinaan negara.Namun, menurut Nur Hidayah, cabaran lebih besar ialah memastikan dasar tersebut diterjemahkan secara konsisten di lapangan.“Contoh yang mudah ialah perjalanan dari rumah ke stesen. Selepas LRT3 mula beroperasi, isu keterhubungan seperti laluan pejalan kaki di beberapa kawasan sekitar stesen masih memerlukan penambahbaikan.“Ini menunjukkan sistem pengangkutan tidak berhenti di pintu stesen. Laluan pejalan kaki, bas perantara, akses OKU dan perjalanan dari rumah ke stesen juga menentukan sama ada orang mahu menggunakan pengangkutan awam.“Jadi dasar kita sudah ada, tetapi pengalaman pengguna di lapangan masih menjadi ukuran penting,” katanya.Ujian sebenar bermula selepas projek selesaiAkhirnya, LRT3 memberikan satu contoh penting tentang bagaimana Malaysia perlu mengubah cara melihat pembangunan infrastruktur.Penarafan lima bintang INFRASTAR pada peringkat reka bentuk merupakan pencapaian yang signifikan, tetapi ia bukan noktah kepada perjalanan kelestarian.Dengan LRT3 kini sudah memasuki fasa operasi, prestasi sebenar projek boleh mula dinilai berdasarkan penggunaan tenaga, jumlah penumpang, kebolehpercayaan perkhidmatan, kos operasi dan penyelenggaraan, aksesibiliti serta pengalaman pengguna.Dalam masa sama, kesan yang lebih luas terhadap pembangunan bandar, ekonomi tempatan, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat perlu diperhatikan dalam tempoh yang lebih panjang.Nur Hidayah merumuskan bahawa infrastruktur mampan tidak boleh dinilai pada hari projek siap sahaja.“Teknologi hijau dan pensijilan memang penting, tetapi selepas projek mula digunakan kita perlu melihat prestasi sebenar, termasuk penggunaan tenaga, kebolehpercayaan, kos operasi, akses, pengalaman pengguna dan manfaat kepada masyarakat.“Dalam konteks LRT3, asas dari segi teknologi, penilaian kelestarian dan dasar sudah tersedia. Cabaran seterusnya ialah memastikan semua itu diterjemahkan kepada prestasi yang konsisten selepas operasi. Bagi saya, di situlah kelestarian sebenar dapat dibuktikan.“Untuk infrastruktur, tarikh siap bukan garisan penamat. Ia sebenarnya permulaan kepada ujian sebenar,” akhirinya.