suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Infrastruktur masa depan di Malaysia perlu berorientasikan rakyat dan alam sekitar – CETDEM

Pelbagai aspek perlu diberi keutamaan sekiranya Malaysia mahu menggalakkan lebih ramai rakyat menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama untuk perjalanan harian. -Foto The Star

DALAM pembangunan infrastruktur berskala besar, kejayaan sesebuah projek tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan kos, tempoh pembinaan atau keupayaan menyediakan kemudahan kepada orang ramai.

Sebaliknya, kesan jangka panjang terhadap alam sekitar, komuniti setempat dan kualiti hidup masyarakat turut perlu menjadi ukuran penting.

Dalam hal ini, organisasi bukan kerajaan (NGO) alam sekitar mempunyai peranan sebagai suara masyarakat serta pihak memerhati dan menilai kesan pembangunan dari perspektif lebih luas, khususnya perkara yang mungkin terlepas daripada perhatian dalam proses pembangunan sesuatu projek.

Bagi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan (CETDEM), pembangunan infrastruktur yang benar-benar mampan perlu mengambil kira hubungan antara alam sekitar, masyarakat dan keperluan pembangunan sejak dari peringkat perancangan, pembinaan sehingga operasi.

Dalam konteks Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), persoalan yang lebih besar bukan sekadar sejauh mana sistem rel itu dapat menghubungkan masyarakat, tetapi sama ada keseluruhan ekosistemnya mampu menggalakkan perubahan kepada corak mobiliti, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, melindungi alam sekitar serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat. 

“Antara perkara utama perlu diberi perhatian ialah kesan projek terhadap komuniti setempat, termasuk golongan terpinggir dan mereka yang lebih mudah terjejas, serta penglibatan mereka dalam proses membuat keputusan.

“Setiap projek infrastruktur berskala besar perlu mengambil kira kesan jangka panjang terhadap alam sekitar seperti pencemaran air, udara dan bunyi serta hakisan tanah; kesan ekologi termasuk kehilangan habitat dan biodiversiti serta gangguan kepada ekosistem; di samping penggunaan sumber dan risiko berkaitan perubahan iklim seperti banjir dan cuaca ekstrem,” ujar Pengurus CETDEM, Sharon Woo kepada mStar.

Tegasnya, perkara tersebut perlu dipertimbangkan sejak peringkat perancangan dan reka bentuk, selain diberi perhatian berterusan ketika pembinaan dan operasi.

“Infrastruktur yang baik bukan sahaja perlu meminimumkan kesan terhadap alam sekitar, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup masyarakat yang menggunakannya,” katanya.

Kesan jangka panjang terhadap alam sekitar perlu dipertimbangkan sejak peringkat perancangan dan reka bentuk.

Pentingnya komunikasi terbuka, telus dengan komuniti

Bagi memastikan sesebuah projek mega benar-benar mengambil kira kelestarian alam sekitar, ujar Sharon, komunikasi yang terbuka dan telus dengan komuniti terjejas perlu menjadi antara keperluan minimum.

Ia termasuk penglibatan pihak berkepentingan seperti organisasi masyarakat sivil dan NGO dalam proses membincangkan kesan serta langkah mitigasi projek.

“Sekurang-kurangnya, perlu ada komunikasi yang terbuka dan telus dengan komuniti yang terjejas serta pihak berkepentingan seperti organisasi masyarakat sivil dan NGO.

“Perlu juga ada kesediaan dan komitmen untuk membincangkan pendekatan bagi menangani serta mengurangkan kesan alam sekitar daripada projek infrastruktur berskala besar, disertai pemantauan dan tindakan susulan yang sewajarnya,” menurutnya.

Dalam masa sama, ujar Sharon, Penilaian Impak Sosial atau Social Impact Assessment (SIA) perlu dilihat sebagai satu lagi instrumen yang wajar diberi perhatian.

“Selain penilaian alam sekitar, Penilaian Impak Sosial atau Social Impact Assessment (SIA) juga wajar diberi perhatian bagi mengenal pasti kesan projek terhadap komuniti setempat, termasuk golongan yang lebih mudah terjejas.

“Ini membolehkan langkah mitigasi dan sokongan yang sesuai dirancang lebih awal,” ujarnya.

Menurut Sharon, pertimbangan alam sekitar dan sosial tidak seharusnya sekadar dilakukan untuk memenuhi syarat atau peraturan.

“Perlu ada perlindungan, cadangan dan tindakan susulan yang jelas, di samping ketelusan dan akauntabiliti yang mencukupi bagi memastikan perkara tersebut dilaksanakan dari peringkat perancangan dan pembinaan hingga kepada operasi dan penyelenggaraan,” jelasnya.

Pemantauan projek mega perlu diperkukuh

Dari perspektif NGO alam sekitar, menurut Sharon, masih terdapat ruang untuk memperbaiki mekanisme pemantauan alam sekitar bagi projek mega di Malaysia, khususnya dari segi ketelusan, penguatkuasaan dan pelaporan kepada orang ramai.

“Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, khususnya dari segi ketelusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), pemantauan, penguatkuasaan dan pelaporan kepada orang ramai.

“Perlu ada garis panduan yang jelas mengenai kawalan dan cadangan yang timbul daripada laporan EIA, di samping penguatkuasaan dan pelaporan bagi memastikan cadangan tersebut benar-benar dilaksanakan dan tidak diketepikan semata-mata atas faktor ekonomi atau kemudahan,” katanya.

Semasa pembinaan projek seperti LRT3, antara perkara utama yang perlu dipantau ialah pencemaran air dan udara, habuk, bunyi dan gegaran, hakisan tanah dan pemendapan, sisa pembinaan, sistem saliran serta risiko banjir.

Kesan terhadap habitat dan komuniti sekitar juga perlu diberi perhatian, termasuk kesan sosial yang dikenal pasti melalui SIA.

“Jika sesuai, hasil pemantauan serta tindakan pembetulan bagi projek infrastruktur utama juga wajar lebih mudah diakses oleh komuniti yang terjejas dan orang ramai. Ini dapat meningkatkan ketelusan dan keyakinan terhadap proses tersebut,” katanya.

LRT perlu mudah digunakan, bukan sekadar dibina

Dalam konteks LRT3, manfaat alam sekitar tidak akan tercapai sepenuhnya hanya dengan menyediakan sistem pengangkutan awam berasaskan rel.

Sebaliknya tegas Sharon, sistem tersebut perlu benar-benar menjadi alternatif yang mudah, selamat dan boleh dipercayai kepada kenderaan persendirian.

“Selain menambah baik sistem pengangkutan awam, LRT perlu mudah diakses melalui sambungan perjalanan awal dan akhir atau first-and-last-mile connectivity yang baik.

“Ia juga perlu menyediakan akses yang selamat untuk pejalan kaki, basikal dan pilihan mobiliti tempatan yang sesuai,” ujarnya.

Salah satu aspek dalam konsep pengangkutan mampan adalah ia perlu mudah diakses melalui sambungan perjalanan awal dan akhir. 

Menurut Sharon, aspek kemampuan tambang dan kebolehpercayaan perkhidmatan juga memainkan peranan penting.

“Pada masa yang sama, perkhidmatan tersebut perlu mampu milik, boleh dipercayai dan konsisten dari segi jadual serta kualiti perkhidmatan,” ujarnya.

Tambah Sharon, aspek keselamatan dan keterangkuman juga tidak boleh dipisahkan daripada konsep pengangkutan mampan.

“Pengangkutan awam perlu boleh diakses oleh semua. Pencahayaan yang baik, laluan yang selamat, kemudahan yang sesuai serta perkhidmatan sokongan semuanya memainkan peranan,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: LRT3 terima penarafan lima bintang, INFRASTAR pacu pembinaan lebih mampan

ARTIKEL BERKAITAN: Antara penarafan lima bintang LRT3 dan ujian prestasi sebenar kelestarian infrastruktur

ARTIKEL BERKAITAN: LRT3 ujian komitmen sebenar tehadap prinsip kelestarian - Penganalisis

Malah, perkara yang kelihatan kecil seperti kebersihan, keselesaan dan penyelenggaraan turut menentukan sama ada orang ramai akan menggunakan pengangkutan awam secara konsisten.

Tambahnya, orang ramai lebih cenderung meninggalkan kenderaan persendirian apabila pengangkutan awam benar-benar memenuhi keperluan harian mereka.

Gangguan perkhidmatan boleh menjejaskan matlamat rendah karbon

Mengulas lebih lanjut, menurut Sharon, penyelenggaraan jangka panjang dan kebolehpercayaan perkhidmatan juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda kelestarian.

Gangguan perkhidmatan yang kerap berpotensi menyebabkan pengguna kembali menggunakan kereta persendirian, motosikal atau perkhidmatan e-hailing.

“Ini seterusnya boleh menyumbang kepada kesesakan jalan raya, pelepasan karbon serta kos sosial dan ekonomi tambahan,” katanya.

Justeru menurut Sharon, mempunyai sistem LRT semata-mata belum tentu memastikan matlamat mengurangkan penggunaan kereta persendirian tercapai.

“Matlamat utamanya ialah memastikan kita mempunyai sistem pengangkutan awam yang boleh dipercayai, benar-benar digunakan oleh orang ramai dan membantu mengurangkan jumlah kereta di jalan raya.

“Mempunyai sistem LRT semata-mata tidak semestinya memastikan matlamat ini tercapai,” ujarnya.

Selain itu, kadar penggunaan dan prestasi perkhidmatan perlu dipantau secara berterusan, dengan mekanisme untuk mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan.

“Penggunaan LRT dan pengangkutan awam juga perlu dipantau secara berterusan, dengan mekanisme untuk mengenal pasti bidang yang perlu ditambah baik.

“Oleh itu, kadar penggunaan dan prestasi perkhidmatan wajar dipantau dan, apabila sesuai, dilaporkan, diikuti dengan tindakan proaktif dan berterusan untuk menangani kekurangan serta meningkatkan sistem,” ujarnya.

LRT3 boleh menjadi contoh, tetapi masih ada ruang diperbaiki

Jika LRT3 mahu dijadikan contoh kepada projek infrastruktur generasi akan datang, ujar Sharon, pelaburan dalam pengangkutan awam berasaskan rel, penerapan aspek kelestarian serta penggunaan teknologi cekap tenaga sebagai perkara positif yang wajar diteruskan dan dipertingkatkan.

Bagaimanapun, aspek kesalinghubungan di luar kawasan stesen perlu diberi perhatian lebih besar bagi projek akan datang.

LRT3 (laluan Shah Alam) mempunyai jajaran 37.8 kilometer dari Bandar Utama hingga Johan Setia, dengan 20 stesen dibuka kepada pengguna dan koridor yang melibatkan kira-kira dua juta penduduk. 

“Bagi projek akan datang, perhatian yang lebih besar juga perlu diberikan kepada kesalinghubungan di luar kawasan stesen.

“Akses perjalanan awal dan akhir (first and last mile), laluan pejalan kaki dan basikal yang selamat, perkhidmatan bas atau van perantara serta integrasi dengan mod pengangkutan awam lain perlu dilihat sebagai sebahagian daripada keseluruhan sistem, bukannya perkara sampingan,” ujarnya.

Pendekatan tersebut penting kerana perjalanan pengguna tidak bermula di pintu stesen dan berakhir di platform destinasi.

Keupayaan seseorang untuk berjalan kaki dari rumah ke stesen, mendapatkan bas perantara atau menggunakan laluan yang selamat turut menentukan sama ada mereka memilih LRT sebagai pengangkutan harian.

“Pengendali pengangkutan awam juga perlu terus melibatkan pengguna melalui saluran maklum balas, kaji selidik dan inisiatif kesedaran awam,” ujarnya.

Membina infrastruktur berorientasikan rakyat

Melangkah ke hadapan, ujar Sharon, CETDEM berpandangan infrastruktur masa depan Malaysia perlu dibina dengan mengambil kira bukan sahaja keperluan kejuruteraan dan ekonomi, tetapi juga keperluan manusia serta cabaran alam sekitar.

“Infrastruktur masa depan Malaysia perlu rendah karbon, berdaya tahan terhadap perubahan iklim, cekap sumber, inklusif, mudah diakses, selamat, boleh dipercayai dan berorientasikan rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, infrastruktur tidak seharusnya hanya memenuhi keperluan kejuruteraan dan ekonomi.

“Ia perlu dapat digunakan oleh masyarakat daripada pelbagai peringkat umur, pendapatan dan keupayaan fizikal, di samping menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup,” katanya.

Bagi pengangkutan awam, kesalinghubungan, kemampuan tambang, keselesaan, kapasiti yang mencukupi, aksesibiliti serta kualiti perkhidmatan yang konsisten perlu menjadi keutamaan sekiranya Malaysia mahu menggalakkan lebih ramai rakyat menjadikannya pilihan utama untuk perjalanan harian.

Pada masa sama, penglibatan awam, pendidikan dan kesedaran perlu diteruskan bagi membina budaya mobiliti yang lebih mampan.

Masyarakat hanya akan lebih mudah membuat pilihan mampan apabila infrastruktur dan perkhidmatan yang disediakan benar-benar mudah digunakan dan boleh dipercayai.

“Prinsip-prinsip kelestarian ini juga boleh disesuaikan dan diguna pakai bagi projek berskala besar, sederhana atau kecil, supaya amalan yang baik dapat diterapkan secara lebih meluas dan menjadi rujukan bagi projek-projek lain,” ujarnya.

Pada akhirnya, infrastruktur bertaraf dunia tidak hanya dinilai berdasarkan reka bentuk atau kos pembinaannya.

“Infrastruktur bertaraf dunia perlu bergerak seiring dengan budaya kelestarian, penyelenggaraan yang baik serta penambahbaikan berterusan berdasarkan corak penggunaan, keperluan dan maklum balas pengguna,” akhiri Sharon.

Artikel Lain