SURAT tawaran haji bagi musim 2027 akan dikeluarkan kepada bakal jemaah ibadah itu bermula September ini. Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi pada Sabtu, Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah supaya mula membuat persiapan awal bagi menghadapi musim haji yang bakal tiba. "Pejam celik, pejam celik, bulan depan surat tawaran haji akan dikeluarkan. Kursus Asas Haji (KAH) pun akan bermula. Tahu-tahu, dah sampai bulan April (2027) nanti. "Jadi, buat bakal haji 1448 Hijrah, jangan tangguh-tangguh buat persiapan. Masa untuk berangkat dah tak lama lagi," demikian menurut perkongsian berkenaan.Dalam pada itu, TH turut menasihatkan bakal jemaah haji agar membuat lima persediaan penting terutamanya daripada segi kesihatan, kewangan, kemaskini maklumat serta penguasaan ilmu fardu ain. Lima persediaan tersebut adalah bakal jemaah disarankan mencukupkan simpanan akaun TH sekurang-kurangnya RM15,000.Selain itu orang ramai dinasihatkan menjaga kesihatan, bersenam dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala serta meningkatkan ilmu ibadat haji dengan hadir ke kursus haji anjuran TH.Selain itu, bakal jemaah turut diminta melakukan persiapan rohani dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan membuat persediaan mental terhadap cabaran semasa menunaikan ibadat.