Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz (tengah) mengulas isu skim Lindung 24 Jam dalam sidang media pada Jumaat. -AZMAN GHANI/The Star
PENCARUM yang memilih untuk dikecualikan (opt-out) daripada Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) boleh mengisi perakuan pelepasan liabiliti bermula Isnin.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz berkata, ia susulan keputusan Kabinet yang memutuskan pelaksanaan skim berkenaan tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara sukarela berkuat kuasa serta-merta. Justeru ujarnya, pencarum yang ingin membuat permohonan ‘opt-out’ itu boleh melakukannya secara dalam talian.ARTIKEL BERKAITAN: Poket pekerja selamat! Caruman 0.75 peratus skim Lindung 24 jam kini tak wajibMohammed Azman bagaimanapun menggalakkan pekerja tempatan di Malaysia untuk terus mencarum skim Lindung 24 Jam yang mampu memberikan jaminan kesinambungan kehidupan melalui gantian pendapatan sekiranya ditimpa musibah di luar waktu kerja.Jelasnya, caruman berkadar kecil berbanding premium perlindungan sedia ada dalam pasaran tidak sewajarnya dilihat sebagai bebanan, tetapi jaminan kehidupan keluarga kerana musibah hadir tanpa diduga. "Mengikut statistik, purata sekitar 27 kes setiap hari direkodkan Perkeso untuk penyaluran faedah Lindung 24 Jam hampir RM2 juta dalam tempoh sebulan skim ini berkuat kuasa. "Kadar ini lebih tinggi berbanding sekitar 13 kes permohonan setiap hari yang terpaksa ditolak oleh Perkeso pada 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, sekali gus mencerminkan keberkesanan Lindung 24 Jam bagi menampung kelangsungan hidup pencarum dan waris."Justeru, faedah disediakan melalui caruman berkadar rendah ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia adalah sandaran utama di saat bencana merencatkan kehidupan," katanya pada sidang media khas, di Ibu Pejabat Perkeso pada Jumaat. Rabu lalu, Kabinet memutuskan pelaksanaan skim Lindung 24 Jam tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri membangkitkan maklum balas yang diterima berkaitan pelaksanaan caruman skim berkenaan.