DUA wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka bersama empat individu lain dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah surau di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Jalan Selising–Bukit Merbau, Pasir Puteh, Kelantan pada awal pagi Ahad.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Helmi Mustofar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.34 pagi. Bomba kemudiannya menggerakkan tujuh anggota dari Balai Pasir Puteh dan enam anggota dari Balai Ketereh bersama dua jentera ke lokasi.Sebaik tiba, anggota bomba mendapati SUV berkenaan telah terbabas sebelum merempuh sebuah surau yang terletak di tepi jalan.ARTIKEL BERKAITAN: Ajal lepas solat Zohor berjemaah… Pelajar maut dirempuh kereta terbabas depan surau sekolah"Terdapat enam mangsa dalam kenderaan tersebut dan semuanya warga Indonesia. "Dua penumpang wanita di bahagian belakang berusia lingkungan 30-an dan 50-an disahkan maut di lokasi akibat tersepit dengan kecederaan parah pada kepala dan badan,” katanya.Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.Menurutnya, empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan, manakala operasi menyelamat tamat pada pukul 7.44 pagi Ahad. - The Star.