suria

Malaysia sedia hantar bantuan ke Myanmar, Thailand... Harap proses pemulihan cepat

Malaysia sedia hantar bantuan kepada mangsa gempa di Myanmar dan Thailand

KERAJAAN Malaysia dengan rendah hati mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kejadian gempa bumi yang melanda Myanmar tengah dan utara Thailand, pada 28 Mac. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berdiri dan bersama dalam solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama negara jiran dan sesama negara anggota ASEAN.

“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada semua mangsa terlibat yang kehilangan orang tersayang. Doa kami juga kepada mereka yang cedera dan yang sedang terlantar.

“Kami mengiktiraf keadaan darurat yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa di Myanmar dan penetapan Bangkok sebagai kawasan dilanda bencana oleh kerajaan Thailand,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Bangunan runtuh, air kolam atas bumbung melimpah ke jalan... Bangkok diisytihar kawasan bencana

Tambah Anwar, Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan menyokong usaha kemanusiaan mengikut keperluan.

“Semoga proses pemulihan dilakukan dengan cepat dan semoga kekuatan ikatan negara serantau membawa kepada harapan dan penyembuhan.

“Saya amat bimbang dengan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar tengah dan utara Thailand, menyebabkan kehilangan nyawa yang tragis dan kemusnahan teruk di Mandalay, Bangkok dan kawasan berdekatan.

“Laporan bangunan runtuh, orang awam yang terperangkap dan angka korban yang semakin meningkat sangat menyedihkan. Kami juga memantau dengan teliti perkembangan di selatan Yunnan China di mana gegaran telah dirasai dan kerosakan struktur juga telah dilaporkan,” tulis Perdana Menteri lagi. 

Artikel Lain