suria

Suspek tahan kereta, paksa pemandu bawa keluar dari pusat beli-belah… ‘Cleaner’ lelaki cedera ditembak di kaki

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

SEORANG pekerja pembersihan lelaki cedera akibat ditembak dalam insiden kekecohan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada Sabtu malam.

Menurut Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, mangsa cedera akibat terkena beberapa das tembakan oleh suspek.

“Suspek sudah melarikan diri, dipercayai seorang sahaja setakat ini,” ujarnya sambil menambah ia berlaku sebelum pusat beli-belah itu ditutup.

Bercakap kepada media di lokasi kejadian pada awal pagi Ahad, Mohd Iqbal memberi jaminan pusat beli-belah itu selamat untuk dikunjungi orang awam.

“Tempat ini selamat untuk orang awam dan boleh beroperasi seperti biasa,” ujarnya.

Tambah Mohd Iqbal, pihak forensik juga masih menjalankan pemeriksaan dan siasatan di pusat beli-belah itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki lari bawa anak jerit... tembakan, tembakan! Pengunjung pusat beli-belah di Setia Alam bertempiaran

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek melarikan dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandunya membawa dia keluar dari kawasan terbabit.

"Pengadu satu ditahan oleh suspek ketika sedang memandu kenderaannya dari aras P3 ke P2 pada pukul 10 malam. Pengadu tidak memberhentikan kenderaannya, lalu suspek bertindak melepaskan satu das tembakan dan mengenai kereta pengadu.

"Seorang lagi saksi didatangi suspek ketika sedang memandu di aras P2. Suspek mengacukan pistol kepada saksi. Saksi terpaksa membawa suspek keluar dan menurunkannya di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di susur keluar Pandamaran," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Fipa) Seksyen 307/384 Kanun Keseksaan.

Di TikTok, seorang individu turut memuat naik video, memaparkan kekecohan yang berlaku dalam insiden tembakan di pusat beli-belah itu.

Turut kelihatan seorang lelaki yang terduduk sambil memegang kakinya, dipercayai mangsa yang cedera akibat serangan berkenaan.

Terdahulu, mStar melaporkan pengunjung di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam bertempiaran lari sejurus selepas kedengaran bunyi tembakan di dalam premis berkenaan.

Laman X turut dibanjiri dengan perkongsian pengguna media sosial yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Salah seorang pengguna berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9.50 malam, Sabtu.

Artikel Lain