SEORANG wanita berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan mencederakan suaminya menggunakan telefon bimbit. Mas Suri Abdul Rahman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Surita Budin pada Selasa. Dia didakwa mencederakan suaminya yang berusia 39 tahun menggunakan iPhone 13 Pro Max. Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1.30 petang pada 1 Februari di sebuah rumah di Nilai. Mas Suri didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebatan atau denda, atau mana-mana dua hukuman tersebut jika sabit kesalahan. Surita kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Februari untuk sebutan semula kes. Norazihah Asmuni bertindak sebagai pendakwa raya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.