PELAKSANAAN Perintah Gaji Minimum baharu memberi manfaat kepada seramai 4.37 juta pekerja di Malaysia dengan peningkatan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 sebulan. Pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan kadar gaji minimum itu disambut dengan baik. Presiden Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta (Pejasma), Datuk Azih Muda berkata, ia merupakan langkah positif untuk membantu pekerja meningkatkan taraf hidup terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah. Azih memaklumkan jutaan pekerja dapat mempunyai simpanan tambahan. Foto LOW LAY PHON "Dengan kenaikan ini, diharapkan pekerja akan lebih dihargai atas usaha mereka dan juga dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat. "Pelaksanaan gaji minimum ini juga merupakan satu usaha untuk mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia. Semoga dengan perubahaan ini, lebih ramai pekerja akan mendapat manfaat yang lebih adil dan seimbang," katanya kepada mStar. Jelasnya, kenaikan sebanyak RM200 itu secara tidak langsung membantu golongan berkenaan mempunyai simpanan tambahan. Kenaikan gaji pekerja kepada RM1,700 berkuat kuasa pada 1 Februari 2025. Foto FAIHAN GHANI "Pekerja boleh membuat sedikit simpanan untuk perubatan, untuk hari tua ia adalah sesuatu yang sangat baik tetapi untuk tujuan membeli kediaman ia sukar. "Ia bergantung pada geografi, jika mereka berada di kawasan luar bandar mungkin boleh memiliki rumah kerana kos sara hidup yang tidak tinggi," katanya. Sementara itu, guru di Dar Al-Islah Islamic School (DAIS), Dziyaul Afnan Abdul Rahman melahirkan rasa bersyukur kerana dapat menikmati kenaikan gaji selepas dua tahun mengajar di sekolah swasta itu. Katanya, walaupun sekolah tersebut baru berusia dua tahun dan kewangan agak terhad, namun ia masih menunaikan tanggungjawab seperti yang diminta kerajaan. "Alhamdulillah, kenaikan ini memberikan motivasi kepada para guru untuk terus berkhidmat dengan baik. Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada golongan pekerja. "Bagi sesetengah orang, RM200 mungkin nampak sedikit tetapi untuk kami nilainya cukup bermakna," katanya. Dziyaul Afnan akui kenaikan RM200 membawa nilai yang bermakna. Dziyaul Afnan berkata, pertambahan itu juga membantu golongan pekerja untuk mendapat gaji yang lebih baik pada masa akan datang. "Mungkin ramai tidak sedar, seandainya golongan berpendapatan RM1,700 ini berhasrat bertukar kerja secara tidak langsung boleh 'demand' gaji. "Jadi secara tidak langsung ada peningkatan dalam kerjaya dan juga pendapatan," katanya. Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum berkuat kuasa pada 1 Februari 2025 terpakai kepada majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan aktiviti profesional. Bagi majikan menggajikan kurang lima pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji.