SEORANG peniaga nasi lemak cedera apabila kedainya di Bandar Inderapura di Jerantut, Pahang dirempuh kereta yang dipandu wanita mengalami sawan, Sabtu malam. Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata Wan Azmi Wan Ibrahim, 42, cedera di bahu dan mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut. Katanya, dalam kejadian pukul 9.30 malam itu Perodua Myvi dipandu wanita berusia 22 tahun terlebih dahulu merempuh Perodua Viva milik peniaga nasi lemak sebelum masuk ke dalam kedainya. "Wanita berkenaan diserang sawan ketika kejadian dan dia mengalami kecederaan ringan serta pengsan di tempat kejadian. "Dia juga dibawa ke Hospital Jerantut untuk rawatan," katanya dalam kenyataan. Sementara itu, Wan Azmi berkata tiada pelanggan ketika kejadian kerana dia sedang berkemas untuk menutup kedainya. Katanya, dia terlebih dahulu mendengar dentuman di hadapan kedai apabila kereta miliknya dirempuh Perodua Myvi terbabit sebelum terperosok ke dalam kedainya