suria

Lelaki lempang isteri direman 3 hari, marah sebab lambat keluar lepas beli nasi ayam

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki menampar isterinya di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, dalam kejadian minggu lalu. -Foto media sosial

LELAKI yang dirakam menampar isterinya di khalayak dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, Sepang, minggu lalu direman tiga hari bermula Ahad, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek berusia 50-an itu ditahan di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan pukul 10 pagi Sabtu.

"Suspek dibenarkan reman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Telok Datok bermula hari ini (Ahad).

"Suspek dipercayai tidur di dalam kereta selama menghilangkan diri.

"Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa yang juga isteri suspek lambat keluar daripada pusat beli-belah terbabit selepas membeli nasi ayam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami lempang isteri di pusat beli-belah dirakam video ‘live’, polis buru pelaku

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Terdahulu, aksi seorang lelaki yang menampar isterinya, secara tidak sengaja dirakam dalam satu video live yang dimuat naik dan menjadi tular di media sosial.

Menerusi rakaman live berdurasi 29 saat itu, kelihatan wanita berkenaan sedang keluar dari pusat beli-belah, sebelum suspek berjalan ke arahnya sambil memimpin tangan seorang kanak-kanak.

Tidak semena-mena, suspek menampar muka dan mengatakan sesuatu sebelum kedua-duanya dilihat berjalan keluar dari premis berkenaan.

Artikel Lain