suria

Suami lempang isteri di pusat beli-belah dirakam video ‘live’, polis buru pelaku

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki menampar isterinya di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan. -Foto media sosial

SEORANG lelaki yang bertindak menampar isterinya di khalayak dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, Sepang, kini sedang dikesan polis.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu yang merupakan adik kepada wanita yang ditampar dalam video berkenaan.

"Pengadu adalah adik kepada mangsa yang mengesahkan bahawa mangsa yang dipukul adalah kakak kandungnya berusia 35 tahun.

"Manakala, lelaki yang memukul mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang juga suami kepada wanita itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul bekas isteri hamil hingga koma, peniaga dipenjara 10 tahun

Ujarnya dalam masa yang sama, polis turut giat mengesan keberadaan wanita berkenaan selain merakam keterangan saksi kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533," katanya lagi.

Terdahulu, aksi seorang lelaki yang menampar isterinya, secara tidak sengaja dirakam dalam satu video 'live' yang dimuat naik dan menjadi tular di media sosial.

Menerusi rakaman live berdurasi 29 saat itu, kelihatan wanita berkenaan sedang keluar dari pusat beli-belah, sebelum suspek berjalan ke arahnya sambil memimpin tangan seorang kanak-kanak.

Tidak semena-mena, suspek menampar muka dan mengatakan sesuatu sebelum kedua-duanya dilihat berjalan keluar dari premis berkenaan.

Artikel Lain