suria

Pemandu treler tertimbus bawah timbunan tiang elektrik... 19 jam ambil masa keluarkan mayat

Usaha bomba menyelamatkan mangsa yang tertimbus mengambil masa lama.

SEORANG pemandu treler yang terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kampung Nabutan, Ranau, Sabah akhirnya dapat dikeluarkan selepas hampir 19 jam tertimbus di bawah timbunan tiang simen.

Mayat mangsa berusia 30 tahun itu berjaya dikeluarkan pada pukul 2.50 pagi Jumaat selepas usaha menyelamat mengambil masa berjam-jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Ridwan Mohd Taib berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.41 pagi Khamis.

“Usaha awal mengorek tanah menggunakan peralatan khas tidak membuahkan hasil dan kami terpaksa menunggu bantuan kren dari Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ridwan, pihaknya menunggu bantuan kren dari Kota Kinabalu yang tiba di lokasi sekitar pukul 6 petang Khamis namun operasi dengan beberapa percubaan mengangkat treler gagal dilakukan.

Kemudian, mereka mengubah strategi dengan mengalihkan sekitar 60 hingga 70 batang tiang elektrik dari lokasi dengan peralatan khas dan akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan.

Menurut Ridwan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan anggota bomba termasuk pegawai serta bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat kren dan keluarga mangsa. -The Star

Artikel Lain