SEORANG pembantu mekanik maut selepas dihempap pemberat getah mesin penghantar (conveyor) ketika sedang bekerja di sebuah kuari di Mukim Jerus, Selising, Kelantan pada Jumaat. Kemalangan berlaku sekitar pukul 4 petang mengakibatkan mangsa berusia 28 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan serius dan tidak sedarkan diri. Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk siasatan lanjut. “Pemeriksaan mendapati mangsa adalah seorang pembantu mekanik berusia 28 tahun. "Mangsa disahkan meninggal dunia di kawasan kuari berkenaan," katanya pada Sabtu. Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menunjukkan tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan insiden. Menurut Zaizul, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tengku Anis untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).