suria

Kim Seri tutup nombor WhatsApp, terima ratusan mesej sehari... Diganggu ramai bukan pelanggan

Kim Seri nafi lari ke Jepun susulan kes penipuan trip pelancongan membabitkan dirinya.

USAHAWAN dan pempengaruh, Kim Seri dihujani mesej daripada orang ramai selepas dia dikaitkan dengan dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Menurut Kim Seri atau Seri Azlina, 39, nombor telefon itu pada awalnya dikongsi di media sosial bagi membolehkan pelanggannya berhubung untuk mendapatkan bayaran balik wang mereka.

"Untuk yang bertanya kenapa nombor WhatsApp yang tak dapat dihubungi, saya minta maaf kerana kesilapan mendedahkan nombor tersebut kepada umum.

"Kami menerima ratusan mesej sehari dan bukan daripada pelanggan yang memohon refund. Jadi, buat masa ini kami terpaksa menutup nombor tersebut.

"Biarlah kami sendiri yang menghubungi para pelanggan kami," tulis Kim Seri menerusi Instagram pada Khamis malam.

Dalam hantaran berasingan, Kim Seri berkata dia sudah memulakan proses bayaran semula wang tempahan pelanggannya secara berperingkat.

553

Polis menerima 24 laporan berhubung penipuan pakej pelancongan Kim Seri.

"Dah buat grup WhatsApp dan mulakan proses refund untuk trip Disember 2024 dulu dan seterusnya saya akan buat untuk trip akan datang.

"Trip akan datang tu bukan bermaksud trip baharu yang akan dibuka. Saya tak buka trip baharu. Maksud saya, trip yang sudah ada tapi akan berlepas pada bulan Januari dan Februari 2025.

"Saya dahulukan proses refund untuk trip Disember 2024 dulu," jelasnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Skandal dakwaan penipuan pakej pelancongan Kim Seri cecah RM500,000! Bukit Aman terima 24 laporan polis

Dalam pada itu, Kim Seri memberi jaminan dia akan memberi kerjasama penuh ke atas siasatan keatasnya.

"Saya tak pernah nak lari ke Jepun dan tak pernah berniat nak tinggal di Jepun. Saya masih di Korea.

"Saya masih di sini memberi kerjasama atas mana-mana siasatan yang dilakukan ke atas saya," tulisnya lagi.

Pada Khamis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 24 laporan berkaitan penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan yang melibatkan wanita itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan jumlah kerugian yang dilaporkan setakat ini dianggarkan hampir mencecah RM500,000 ringgit.

Kim Seri pada Rabu turut membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji untuk memulangkan semula wang pelanggan yang terjejas susulan isu berkaitan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain