LELAKI yang terlibat dalam penculikan Albertine Leo Jia Hu dipercayai mempunyai kecenderungan melakukan salah laku seksual terhadap kanak-kanak. Ketua Polis negeri Komisioner M Kumar berkata, ia berdasarkan bahan lucah kanak-kanak, yang ditemui di rumah suspek berusia 31 tahun di Kulai. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mengaku tak bersalah culik kanak-kanak perempuan umur 6 tahun "Kami tidak menggunakan istilah pedofil kerana itu adalah istilah klinikal yang memerlukan pengesahan daripada pakar perubatan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis Johor pada Khamis. Kumar berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai motif di sebalik penculikan itu. “Kami percaya dia tidak menyasarkan mangsanya secara rawak dan telah memerhatinya sebelum menculiknya,” katanya sambil menambah penculikan itu juga dipercayai dirancang lebih awal. Tambahnya, suspek yang merupakan seorang penganggur tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum kejadian. Terdahulu, suspek, Leang Win Son, didakwa dengan beberapa pertuduhan termasuk menculik dan mengurung secara haram kanak-kanak berusia enam tahun di Mahkamah Kulai dan Johor Bharu. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube