SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menculik dan mengurung tanpa kebenaran kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui pada Julai. Bagaimanapun, Leang Win Son, 31, mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan selepas ia dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rasidah Roslee pada Khamis. Menurut kertas pertuduhan, Leang yang masih belum berkahwin didakwa menculik seorang kanak-kanak daripada ibunya di Eko Galleria 3 dekat Iskandar Puteri, Johor Bahru kira-kira pukul 8.30 malam pada 20 Julai. Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Tertuduh juga didakwa membuat pengurungan ke atas kanak-kanak itu di bilik hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor pada 4.45 pagi, 23 Julai 2024. Leang meminta untuk dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan, Rasidah seterusnya menetapkan ikat jamin berjumlah RM20,000 dan mengarahkan tertuduh untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah. Rasidah juga meminta tertuduh untuk melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu sebarang saksi pendakwaan Dalam pada itu, tertuduh juga berdepan enam lagi pertuduhan dalam mahkamah sama di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif mendakwa kes tersebut manakala peguam Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil dan Nur Zafirah Norizan mewakili tertuduh. Ibu kepada mangsa dan ahli keluarga yang lain dilihat berada di dalam bilik perbicaraan untuk mendengar prosiding. Tertuduh kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai sambil diiringi polis untuk menghadapi pertuduhan tambahan. Terdahulu pada Ahad, Leang ditahan semula berikutan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan lucah dewasa dan bahan penderaan seksual kanak-kanak di kediamannya di Kulai, Johor. Albertine dilaporkan hilang oleh bapanya pada 20 Julai lalu di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri sebelum ditemukan selamat di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor pada 23 Julai. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube