suria

Murid masuk hospital selepas didenda berjemur di padang, polis sahkan terima laporan ibu mangsa

Ibu kepada seorang murid mendakwa anaknya mengalami 'heat exhaustion' selepas didenda dijemur di padang.

SEORANG murid tahun lima di sebuah sekolah rendah di Ampang, Selangor terpaksa dikejarkan ke hospital selepas didakwa didenda berjemur di padang sekolah oleh gurunya.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat ibu mangsa berhubung kejadian terbabit pada 30 April lalu.

"Hasil pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami 'heat exhaustion'.

"Siasatan mendapati suspek yang juga guru sekolah terbabit berusia 37 tahun memberi hukuman denda berdiri terhadap mangsa bersama tiga rakannya yang lain selama 10 minit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dakwa cedera dirotan warden asrama gara-gara ponteng solat tarawih

Tambahnya, siasatan berhubung kes berkenaan sudah dilengkapkan dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Kami mendapati terdapat sebuah video tular di media sosial membabitkan ibu mangsa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan tidak puas hati dengan cara pengendalian kes terbabit.

"Bagaimanapun, tiada aduan rasmi diterima daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu setakat ini," katanya.

Mohd Azam memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, ibu mangsa mendakwa anak lelakinya yang berusia 11 tahun memaklumkan bahawa dia serta rakannya didenda berjemur di padang sekolah oleh seorang guru.

Wanita tersebut yang turut memuat naik rakaman video menceritakan mengenai perkara itu di Facebook berkata, dia menyedari anaknya lesu dan tidak berselera selepas mengambil kanak-kanak itu pulang dari sekolah pada hari kejadian.

Dia kemudian menghantar anaknya ke Hospital Ampang dan doktor memaklumkan bahawa kanak-kanak itu mengalami 'heat exhaustion'.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain