suria

Pelajar dakwa cedera dirotan warden asrama gara-gara ponteng solat tarawih

Terdapat beberapa kes pelajar mengalami kecederaan akibat dirotan guru yang dilaporkan media. -Gambar hiasan

KES seorang pelajar kolej vokasional di Rompin, Pahang yang cedera didakwa dirotan oleh guru kini sedang disiasat mengikut Seksyen 324A Kanun Keseksaan (KK).

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof yang mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut berkata, mangsa yang berusia 18 tahun dikatakan mengalami kecederaan akibat dirotan sebanyak 10 kali oleh guru yang juga warden asrama sekolah tersebut.

Nor Azman berkata, kejadian dikatakan berlaku pada jam 7.45 pagi, Jumaat lalu, di kawasan perhimpunan bahagian bawah asrama kolej tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid darjah 5 dakwa cedera di badan, muka ‘dihukum’ guru besar gara-gara tak siap ‘homework’

"Mangsa mendakwa dirotan oleh guru berkenaan yang juga warden asrama bersama rakan-rakannya yang lain kerana tidak menyertai solat tarawih.

"Terdapat kesan kecederaan di belakang badan, punggung dan lengan kanan pelajar terbabit dipercayai dirotan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mangsa hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin pada jam 5.33 petang pada hari yang sama ditemani ibu saudaranya.

Jelasnya, kejadian tersebut disiasat mengikut Seksyen 324A Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain