suria

Keputusan balik raya naik motosikal berakhir tragedi… Suami isteri maut superbike rempuh pokok

Motosikal dinaiki pasangan berkenaan terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Kampung Bukit Tok Ali. -Gambar ihsan polis

KEPUTUSAN sepasang suami isteri yang pulang beraya ke kampung halaman di Kelantan dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya maut selepas kenderaan mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok.

Dalam kejadian pada pagi Jumaat, mangsa, Saharudin Mohd Yusoff, 50 dan isteri, Azilawati Jusoh, 50, menunggang 'superbike' model BMW dari Jeli ke Dabong sebelum terbabas di Kampung Bukit Tok Ali.

Menurut Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob, Saharudin dan Azilawati cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Balah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Aidilfitri... Ibu bersama bayi 3 bulan maut selepas kereta bertembung lori tangki, tersepit di tempat duduk depan

Sementara itu, abang Azilawati, Mokhtar, 63, berkata sebelum ini pasangan suami isteri berkenaan pulang ke kampung menggunakan kereta, namun tidak menyangka keputusan pulang beraya kali ini dengan motosikal meragut nyawa mereka.

"Mereka bergerak pulang awal sehari sebelum hari raya dengan motosikal dari Sepang, Selangor ke Chetok, Pasir Mas kerana mahu mengelak kesesakan lalu lintas.

"Malah, dari awal mereka tidak memaklumkan kepada keluarga akan pulang bermotosikal kerana tidak mahu kami semua bimbang.

"Saya diberitahu arwah Azilawati sempat memberikan kata laluan telefon bimbitnya kepada orang awam yang membantu mereka sebelum dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berhampiran," ujarnya kepada pemberita.

Tambahnya, pasangan berkenaan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi, Chetok, Pasir Mas, jam 4 pagi Sabtu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain