suria

Kegembiraan rai hari terakhir guru pelatih bertukar tragedi, pelajar tingkatan 4 ditemukan lemas

Seorang pelajar ditemukan lemas 50 meter dari lokasi terakhir dilihat mandi. -Gambar JBPM

SEORANG pelajar tingkatan empat ditemukan lemas di Pantai Mutiara Kem Terendak di Sungai Udang, Melaka, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 6.30 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan.

"SAR turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pasukan komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Selepas tiga jam hilang, mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir dia dilihat mandi," katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas dan jenazah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

Christopher memberitahu, sebelum kejadian mangsa dikatakan ke pantai itu bersama 13 rakan dan dua guru untuk meraikan hari terakhir guru pelatih yang mengajar di sekolah mereka.

"Ketika mereka sedang makan, mangsa bersama seorang lagi rakan ke pantai untuk mandi.

"Ketika sedang mandi, rakan mangsa dikatakan lemas dan dia cuba untuk menyelamatkan tetapi tenggelam.

"Mangsa kemudian hilang tanpa sempat diberi bantuan oleh guru serta pelajar yang lain," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain