suria

Rezeki anak… Keluarga bawa bayi naik motosikal ke hospital dapat hadiah Proton Persona

Azlan menerima sebuah kereta terpakai untuk memudahkan urusan keluarganya.

KISAH pasangan suami isteri menaiki motosikal sambil membawa bayi mereka yang memakai alat bantuan pernafasan ternyata mengundang sebak rakyat Malaysia.

Pada Khamis, seorang pengusaha kedai automotif di Alor Setar, Kedah menghadiahkan sebuah kereta Proton Persona terpakai buat keluarga itu bagi meringankan beban mereka.

Menurut Daniel Firdaus, Mohd Azlan Ishak yang juga bapa kepada bayi berusia 11 bulan itu pernah berkunjung ke kedainya untuk mencari kereta terpakai.

Prihatin dengan nasib yang menimpa, dia bertindak menghadiahkan sebuah kereta bagi memudahkan Azlan membawa anak dan isterinya berulang-alik ke hospital.

"Alhamdulillah selesai proses penyerahan kereta Persona kepada Encik Lan (Azlan) dan isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak pakai mesin pernafasan naik motor ulang alik ke hospital, bapa tetap gigih kerja cari rezeki... Terharu nasib keluarga dapat perhatian

"Teringat kali pertama Encik Lan datang kedai Abang Aji (panggilan dirinya) nak cari kereta bernilai RM1,000 untuk ulang-alik hospital.

"Walaupun Abang Aji bagi pilih kereta, Encik Lan tak kisah dan tak meminta," ujarnya menerusi Facebook.

Untuk rekod, video Azlan bersama isterinya, Norhidayu Halim yang membawa anak mereka menaiki sebuah motosikal tular di media sosial sejak Isnin.

Video tersebut menyentuh hati ramai apabila anak pasangan berkenaan yang masih kecil dilihat memakai alat bantuan pernafasan.

Azlan yang menetap di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah berkata, anak kelimanya menghidap masalah paru-paru, limpa dan Refluks Gastroesophageal (Gerd) sejak berusia dua bulan.

Kisah keluarga Azlan turut meraih perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain