suria

Runtuhan bangunan: Majikan bakal dikenakan tindakan, 5 pekerja asing tiada caruman Perkeso

Perkeso bakal mengambil tindakan ke atas majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja asing di tapak projek itu.

LIMA daripada sembilan pekerja asing yang terbabit dalam runtuhan tapak pembinaan di Batu Maung, dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Selasa malam tidak mempunyai rekod caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, Perkeso akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja asing di tapak projek pembinaan gudang logistik itu.

Kegagalan majikan mendaftar dan membayar caruman pekerja asing itu jelas melanggar Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak perlindungan sosial mereka,” katanya pada Jumaat.

Hasil semakan kementerian terhadap empat pekerja asing, masing-masing dua yang maut dan dua mengalami cedera parah dalam kejadian menyayat hati pada Rabu mendapati mereka mempunyai rekod pendaftaran dengan Perkeso, tetapi tiada caruman, sejak diambil bekerja antara 2020 hingga Julai 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Runtuhan bangunan: 3 maut, 4 dipercayai masih terperangkap

Bagaimanapun, seorang lagi pekerja asing yang maut tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman dengan agensi itu.

Sebagai makluman, semua pekerja asing, termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor pembinaan diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Perkeso, berkuat kuasa sepenuhnya 1 Januari 2020.

Perkeso juga sedang menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia serta agensi berkaitan, mengenai empat lagi pekerja asing yang dilaporkan tertimbus di bawah serpihan runtuhan di lokasi kejadian.

Terdahulu, media melaporkan berlakunya insiden runtuhan di tapak pembinaan bangunan gudang logistik di Batu Maung, menyebabkan beberapa pekerja tertimbus.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain