suria

Ketua geng pecah rumah lari lintang-pukang atas bumbung flat! Penduduk tolong suluh lampu takut lesap dalam gelap

Aksi kejar-mengejar di atas bumbung flat.

KECOH rakaman video di media sosial memaparkan aksi kejar-mengejar antara pihak berkuasa dengan seorang penjenayah pecah rumah.

Dalam kejadian di kawasan perumahan flat di Seksyen 20, Shah Alam, Selangor itu, suspek tersebut dilihat cuba meloloskan diri dengan memanjat bumbung.

Kejadian mencemaskan itu sempat dirakam penduduk tempatan pada sekitar pukul 2.30 pagi Sabtu di mana warga sekitar turut memberikan kerjasama untuk mengepung penjenayah tersebut.

"Dah satu jam dia (penjenayah) ni menyorok atas bumbung. Kami dan pihak polis serta bomba dah kepung mereka, ada seorang yang dah angkat tangan nak serah diri tapi sambung menyorok pula.

"Kami dengar ada yang panggil dia Aiman, Amir dan ada juga yang panggil dia B*bi. Sampai dua jam juga kami tunggu, dia cuba pecahkan atap beberapa rumah nak larikan diri tapi gagal.

"Bayangkan kalau dia berjaya masuk ke dalam rumah yang ada anak kecil," ujar lelaki yang berkongsi video tersebut dipercayai penduduk setempat dengan nada risau.

Dalam video itu, turut kelihatan anggota bomba mengendalikan kren bagi memudahkan akses pihak berkuasa ke bumbung flat untuk mengejar penjenayah.

Suspek jenayah pecah rumah berjaya diberkas pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kumpulan penjenayah tersebut terdiri daripada lima suspek termasuk seorang wanita.

Daripada lima suspek tersebut, empat merupakan warganegara Malaysia manakala seorang lagi suspek wanita adalah rakyat Thailand.

Menurut Mohd Iqbal, pihaknya dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam membuat serbuan di flat yang juga merupakan tempat tinggal suspek pada pukul 12.03 tengah malam Sabtu.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 37 tahun ini juga disahkan positif dadah hasil ujian saringan air kencing selain mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah.

"Semasa serbuan dibuat, suspek bertindak melarikan diri dengan memanjat bumbung flat terbabit.

"Suspek berjaya ditangkap dengan bantuan anggota bomba," kata Mohd Iqbal dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, hasil serbuan kediaman suspek turut menemukan pelbagai barangan hasil jenayah pecah rumah selain peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan terbabit.

"Siasatan mendapati geng ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan terdapat tiga kes di Shah Alam," katanya.

Kesemua suspek direman selama lima hari sehingga Rabu depan untuk siasatan di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain