suria

Pengawal keselamatan lanyak rider cukup-cukup, pelanggan wanita rayu henti bergaduh - “Lepaskan… dia kecil je kot!”

Insiden pergaduhan melibatkan rider penghantar makanan dan pasukan pengawal keselamatan.

KECOH rakaman video di platform X menunjukkan pergelutan antara rider penghantar makanan dan pengawal keselamatan.

Dalam kejadian dipercayai di sekitar ibu kota Kuala Lumpur itu, difahamkan rider terbabit dihalang daripada memasuki premis oleh pengawal keselamatan bertugas.

Bagaimanapun pelanggan yang memesan penghantaran itu bertegas supaya rider tersebut memasuki bangunan bagi menyerahkan bungkusan yang dibawa.

Ketika situasi semakin tegang, rider berkenaan didakwa memarahi pengawal keselamatan warga asing sehingga menyebabkan mereka memanggil individu lain bagi mendapatkan bantuan.

Individu yang dipanggil itu dikatakan bertikam lidah dengan rider tersebut sebelum menjadi pergaduhan fizikal.

Menerusi video itu, rider tersebut dilihat tertiarap di atas lantai dan tangannya ditarik ke belakang untuk mengehadkan pergerakan.

"Kau duduk diam kejap, kau sabar, kau nak melawan lagi ke," kata individu yang memakai blazer berwarna merah.

Turut kedengaran suara seorang wanita dipercayai pelanggan yang menggunakan khidmat rider itu cuba meleraikan perselisihan faham.

"Tolong lepaskan dia, dia kecil je kot," rayu wanita itu.

Kata wanita terbabit, dia sedia bertanggungjawab jika kemasukan rider ke premis itu menjadi satu kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nazron Abd Yusof memaklumkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu.

“Polis sudah mengenal pasti saksi kejadian dan memanggil mereka untuk diambil keterangan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain