suria

Helikopter bawa 7 penumpang terhempas di Subang

Sebuah helikopter terlibat dalam nahas di Subang, Selangor.

TULAR di media sosial sebuah helikopter dilaporkan terhempas ketika menjalani ujian penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada pagi Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud mengesahkan insiden itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, tujuh penumpang termasuk juruterbang selamat dikeluarkan dari helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189 dan mangsa berada dalam keadaan stabil.

"Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden kemalangan sebuah helikopter di kawasan apron berhampiran hangar University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).

"Helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan,” jelasnya.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, ketika sesi ujian, helikopter terbabit terhempas di kawasan hangar.

“Menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada jam 11.52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) telah bertindak segera terhadap insiden tersebut,” katanya lagi.

Dimaklumkan juga siasatan lanjut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

Manakala dalam satu laporan lain yang dikeluarkan Pusat Pengurusan Operasi (PPO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, siasatan awal mendapati helikopter itu terhempas kerana hilang kawalan.

"Helikopter itu sedang diselenggara dan cuba diuji oleh pihak jurutera selenggara. Helikopter tersebut kemudiannya hilang kawalan dan terpaksa hard landing.

"Terdapat tujuh orang mangsa yang terlibat di mana tiga orang mangsa adalah pegawai bomba dan empat orang mangsa adalah pihak jurutera selenggara.

"Kesemua mangsa mengalami cedera ringan dan sedang dirawat oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor," kata PPO Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam satu kenyataan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain