suria

Ujian dah dibuat, objek pada tayar kereta Siti Kasim dipercayai bahan letupan IED

Unit Pemusnah Bom PDRM menjalankan ujian letupan ke atas objek berkenaan dan mengesahkannya sebagai IED. -Gambar Facebook

OBJEK mencurigakan berupa dua botol plastik berisi wayar yang ditemui pada tayar belakang kereta milik peguam Siti Kasim, disahkan bahan letupan termampat (IED).

Ketua Polis Daerah Brickfileds, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pengesahan itu dibuat selepas sepasukan pegawai dari Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan ujian letupan ke atas objek berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua botol berisi bahan letupan itu akan dihantar kepada pakar untuk analisis lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Objek disyaki bahan letupan ditemui pada tayar kereta Siti Kasim

"Kami akan menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sama ada bahan letupan itu masih aktif atau sebaliknya," ujarnya.

Ditanya sama ada Siti Kasim ada menerima sebarang ugutan, Amihizam berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

"Kami belum merekodkan kenyataannya tetapi berdasarkan perbualan lisan, dia memaklumkan tidak mempunyai sebarang ancaman.

"Bagaimanapun, kita akan siasat," katanya.

Terdahulu, Siti Kasim yang juga seorang aktivis sosial mendakwa satu objek disyaki bahan letupan diletakkan pada keretanya.

Siti Kasim atau nama sebenarnya, Siti Zabedah Kasim berkata, objek tersebut dikesan oleh seorang mekanik ketika dia menghantar kereta jenis Toyota Celica miliknya untuk diselenggara di pusat servis dekat Jalan Maarof, Kuala Lumpur, tengah hari Jumaat. -THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain