suria

Nenek usia 87 tahun tenang naik paragliding, sukarela nak terbang dulu sebab mahu anak, menantu tak rasa takut dan turut serta

Wanita ini kelihatan tenang ketika menaiki paragliding.

RAKAMAN menunjukkan seorang warga emas berusia 87 tahun menaiki paragliding tandem mendapat perhatian ramai.

Menurut pilot paragliding, Chris Lammert, ketika datang bekerja pada Isnin, dia menjangkakan ramai pelanggan muda bakal melakukan paragliding bersamanya di Lohan, Ranau, Sabah.

Namun dia sangat terkejut mendapat tahu salah seorang pelanggannya pada hari itu adalah Madam Thong, seorang wanita sudah lanjut usia dari Rawang, Selangor.

Lebih mengejutkan, Madam Thong secara sukarela ingin melakukannya terlebih dahulu semata-mata mahu anak perempuannya yang berusia 50an untuk melakukan aktiviti mencabar ini kerana dia terlalu takut.

“Saya tak tahu mengenai perkara ini tetapi kakitangan pendaftaran biasanya akan memberikan kes seperti ini kepada saya (atas kepakaran).

"Saya dapat tahu Madam Thong sedang bercuti bersama keluarga, dan dialah yang memujuk anak dan menantunya untuk mencuba paragliding," katanya.

Selepas berkongsi video di Facebook, warganet menyatakan rasa kagum dan memuji keberanian warga emas itu.

Ditanya bagaimana reaksi Madam Thong semasa berada di udara, katanya, wanita itu tenang berbanding beberapa pelanggan yang lebih muda di mana mereka 'terbang' dengan lancar dari Bukit Hampuan dan mendarat di Kampung Dilik di Sabah.

“Anak perempuannya sangat prihatin dan mengingatkannya supaya berhati-hati dengan kaki, tetapi saya lihat dia (Thong) datang dalam keadaan bersedia dengan alat sokongan lutut.

“Ketika kami di udara, untuk menenangkannya... saya berborak dengannya sambil menunjukkan gunung, lembah, dan bangunan seperti kompleks sukan.

“Nampaknya, dia banyak mengembara sebelum ini termasuk ke Australia dan England kerana dia suka mencuba perkara baharu. Dia berjaya menceriakan hari saya apabila membuat isyarat bagus (thumbs up) apabila kami mendarat," tambah Lammert.

Walaupun Madam Thong menjadi pelanggan tertuanya setakat ini, Lammert berkata salah seorang rakan sekerjanya mendakwa telah melakukan paragliding bersama seorang lelaki berusia 90 tahun dari Singapura sebelum ini.

"Tetapi saya gembira dapat memberikan pengalaman ini untuknya, kerana orang tertua yang saya bawa untuk paragliding sebelum ini ialah ibu saudara saya yang berusia 71 tahun," kata Lammert, yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam paragliding.

Dia juga berkongsi fakta menarik yang mana golongan wanita paling ramai mencuba aktiviti mencabar ini, walaupun pelanggan mereka terdiri daripada kanak-kanak hingga orang dewasa berusia 60an.

“Sejak syarikat ini bermula pada 2014 di Ranau, kami boleh katakan 80 peratus pelanggan paragliding tandem kami adalah wanita, 10 peratus kanak-kanak dan 10 peratus lagi adalah lelaki,” katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain