suria

CarSifu jalin kerjasama strategik dengan FMCCAM

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Hotel Berjaya, Pulau Pinang pada Sabtu.

CARSIFU, anak syarikat milik Star Media Group (SMG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Syarikat Motor Dan Kredit Malaysia (FMCCAM) untuk meningkatkan tawaran unik, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahu mendapatkan kereta terpakai.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SMG, Alex Yeow dan Setiausaha Agung Kehormat FMCCAM, Khoo Kah Jin semasa sambutan ulang tahun ke-45 FMCCAM yang diadakan di Hotel Berjaya, Pulau Pinang pada Sabtu, 27 Mei lalu.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian itu ialah Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor dan Pengurus Besar Kanan SMG, Chung Eng Lee. Pemeteraian itu juga disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan setiausaha politik kepada YB Menteri Dalam Negeri Johari Kassim.

Menerusi kerjasama ini, Yeow berkata CarSifu menyasarkan untuk menjadi panduan pembelian yang muktamad dalam industri automotif, meningkatkan pengalaman pengguna melalui data dan teknologi sambil membina kepercayaan di kalangan pelanggan dan pengedar kereta.

Kerjasama CarSifu dan FMCCAM memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahu mendapatkan kereta terpakai.

Kerjasama CarSifu dan FMCCAM memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahu mendapatkan kereta terpakai.

“SMG merupakan sumber berita dan maklumat yang dipercayai dan ia diterjemahkan dalam pelbagai platform dan produk kami.

“Manakala FMCCAM sudah lama menjadi suara yang diyakini untuk pengedar kenderaan bermotor bebas Malaysia.

“Kerjasama ini akan menyediakan peniaga berdaftar FMCCAM dengan platform penyenaraian yang dipercayai di mana mereka dapat menjangkau lebih ramai pengguna.

“Dengan lebih 5,000 pengedar di seluruh negara, pelanggan akan mempunyai lebih banyak pilihan.

“SMG dan FMCCAM dapat mengukuhkan kepercayaan antara penjual dan pembeli serta memenuhi keperluan masing-masing,” kata Yeow.

Ditubuhkan pada tahun 1979, FMCCAM memberi perhatian teliti untuk membentuk keyakinan pembeli yang ingin mendapatkan kenderaan terpakai serta melindungi pengedar kereta terpakai daripada risiko yang berkaitan.

Sementara itu Tony berkata, kerjasama antara CarSifu dan FMCCAM hadir pada masa yang tepat kerana pasaran kereta terpakai kini berada dalam aliran menaik.

“Kami teruja untuk menawarkan platform yang membolehkan pengedar kereta meluaskan jangkauan dan mempamerkan tawaran mereka," katanya.

Tambahnya, melalui platform CarSifu dan pengedar berdaftar FMCCAM, pelanggan akan lebih yakin untuk mendapatkan kereta terpakai serta merasai pengalaman pembelian yang lebih baik dan lebih telus.

“Kami berharap dapat bekerjasama untuk meningkatkan perkhidmatan dan memacu pengalaman terbaik untuk kedua-dua peniaga dan pelanggan,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain