suria

Berita baik buat pengedar kereta terpakai! Kerajaan akan perkemas sistem mohon permit, buka lebih banyak peluang kerja buruh asing

Kon Yeow (tiga, kiri) bersama Setiausaha Peniaga Kereta Terpakai dan Persatuan Pembiaya Motor (Pulau Pinang) Ewe Hoo Chye (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SMG, Alex Yeow (dua, kiri) (dua,kiri) ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun FMCCAM ke-45 di Hotel Berjaya, Pulau Pinang, Sabtu.

KEHADIRAN pekerja asing dalam industri menjadi faktor penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memenuhi permintaan pelbagai sektor, termasuk industri permotoran, kata setiausaha politik kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Johari Kassim.

Johari yang membacakan teks ucapan Saifuddin berkata, pihaknya memahami kepentingan satu sistem yang telus dan terkawal untuk mengeluarkan permit kerja kepada buruh asing.

“Setahu saya, pada masa ini, terdapat ramai pekerja asing yang bekerja dalam industri kereta terpakai, terutamanya dalam perkhidmatan pembersihan dan cuci kereta, serta membantu pengedar kereta terpakai dalam membaiki kenderaan dan tugas-tugas lain.

“Pekerja asing menawarkan upah yang murah dalam membantu memenuhi keperluan tenaga kerja pengedar kereta terpakai. Justeru, isu kekurangan pekerja asing turut menjejaskan operasi harian peniaga kereta terpakai.

“Kami komited untuk memperkemas dan menambah baik proses permohonan permit untuk menjadikannya lebih cekap dan mesra pengguna, di samping mengekalkan semak dan imbang yang diperlukan,” katanya memetik ucapan Saifuddin di Majlis Sambutan Ulang Tahun Persatuan Persekutuan Syarikat-syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) ke-45 di Hotel Berjaya, Pulau Pinang, Sabtu.

Beliau turut mengetengahkan isu mencegah penipuan dalam pembelian dan penjualan kereta terpakai.

“Polis akan memperkukuh pengawasan dan mencegah penipuan dalam pembelian dan penjualan kereta terpakai bagi mengelakkan reputasi dan persepsi pengedar kereta terpakai yang sah tercemar.

“Mangsa yang terjerumus dalam penipuan berkaitan pembelian dan penjualan kereta terpakai biasanya terpedaya dengan iklan di media sosial dan platform dagangan dalam talian yang menawarkan kenderaan pada harga bawah nilai pasaran.

“Mengenai isu lesen pengedar kereta terpakai, ketika ini di Malaysia ramai pengedar menyewa tanah kosong dan memohon lesen perniagaan daripada kerajaan tempatan," katanya.

Disebabkan banyak peraturan yang dikenakan oleh kerajaan tempatan, sukar bagi pengedar untuk mendapatkan sokongan daripada mereka

"Oleh itu, tanpa sokongan kerajaan tempatan, pengedar tidak dapat memperoleh lesen kereta terpakai daripada polis juga.

“Kementerian akan memberi perhatian kepada situasi ini dan melibatkan diri dalam sesi dialog antara jabatatan selain mengadakan lebih banyak perbincangan dengan industri berkaitan untuk memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengedar kereta terpakai.

“Beberapa usaha akan diambil bagi memudahkan proses permohonan lesen perniagaan bagi pengedar kereta terpakai,” katanya.

Tambahnya lagi, kementerian komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan pihak berkepentingan industri bagi memastikan permit dan lesen yang diperlukan untuk penjualan kereta terpakai dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara adil dan telus.

Ketika majlis sama, FMCCAM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan anak syarikat milik penuh Star Media Group (SMG), CarSifu untuk memanfaatkan tawaran masing-masing dengan tujuan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dalam hal pembelian kereta terpakai.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG Alex Yeow dan Setiausaha Agung Kehormat FMCCAM Khoo Kah Jin, dengan Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor serta Pengurus Besar Kanan SMG, Chung Eng Lee menurunkan tandatangan sebagai saksi.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Johari. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain