suria

Hempuk kepala guna helmet, terajang bertubi-tubi! Polis tahan 6 individu kes gaduh di Tampoi

Tangkap layar sekumpulan suspek bertindak menarik rambut , menendang kepala dan memukul menggunakan topi keledar.

POLIS menahan lima lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Tampoi, Johor Bahru yang tular di media sosial sejak Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Utara, Asisten Komisioner (ACP) Balveer Singh berkata, tangkapan dibuat pada Ahad bagi membantu siasatan.

“Susulan kejadian itu, kami menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 35 tahun. Kesemua suspek adalah warga tempatan.

“Mereka ditahan reman selama empat hari bermula 28 Mei untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad malam.

Tambahnya, polis masih menyiasat punca pergaduhan dan terdapat kecederaan dilaporkan.

“Kita sudah mengenal pasti dan sedang mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas.

“Kami menggesa orang ramai supaya tidak mensensasikan perkara ini sehingga boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Katanya lagi, mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supt Risman Sahid di talian 019-7766043.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 365 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video berdurasi 28 saat menunjukkan sekumpulan orang memukul seorang lelaki tular di media sosial.

Dalam video itu, kelihatan sekumpulan suspek bertindak menarik rambut mangsa, menendang kepala dan menggunakan topi keledar untuk memukulnya. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain