suria

Pemandu Mercedez berlagak gangster, belasah doktor warga emas sebab tak berhenti kereta akhirnya ditahan!

Video tular memaparkan seorang pemandu kereta berlagak gangster apabila memukul seorang pemandu lain. Foto: Media sosial

SEJAK semalam, tular di media sosial memaparkan insiden kekecohan di mana seorang pemandu kereta berlagak samseng dengan menendang dan menumbuk seorang pemandu lain, di bahu jalan.

Video yang dirakam oleh seorang pengguna jalan raya itu tular selepas dikongsikan di akaun Twitter @tnqistina.

"Video ini menunjukkan lelaki itu menendang, menampar dan menumbuk seorang pemandu warga emas. Tak kira siapa yang salah, janganlah bertindak macam seorang gangster hooligan! Bagi viral mamat jahanam ni," demikian kapsyen yang ditulis pada perkongsian berkenaan.

Menerusi video berdurasi 45 saat yang turut dimuat naik pada perkongsian tersebut, kelihatan pemandu lelaki yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah jenama Mercedes Benz berwarna putih memberhentikan keretanya di hadapan kereta yang dipandu seorang lelaki.

Pemandu tersebut kemudian membuka pintu kereta lelaki berkenaan dan terus memukul dan menendangnya bertubi-tubi tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.

Pemilik akaun Twitter berkenaan turut mendedahkan nombor pendaftaran kenderaan SUV tersebut dan membuat pautan kepada @PDRMsia @PDRMsia_Trafik agar mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.

Sehingga kini ciapan berkenaan meraih melebihi 1,800 ulang kicau selain dibanjiri dengan komen netizen yang mengecam tindakan ala gangster pemandu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda lanyak pakcik tengah jalan, peguam kongsi bahan sikap panas baran sebagai pengajaran

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang berusia 27 tahun telah ditahan sewaktu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas selesai memberi keterangan jam 9.45 malam Isnin.

Menerusi satu kenyataan, Mohamad Farouk berkata, insiden tercetus selepas arahan untuk memberhentikan kenderaan tidak diendahkan oleh mangsa iaitu seorang doktor berusia 67 tahun.

Mangsa kemudian menyedari kenderaannya dilanggar dari arah belakang, semasa memandu di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama.

"Apabila sampai di hadapan stesen minyak berkenaan, kenderaan mangsa dihalang dari arah hadapan oleh sebuah kereta Mercedes berwarna putih.

"Kemudian seorang lelaki turun dari kenderaan itu dan bertindak membuka pintu kereta mangsa lalu menumbuk muka bahagian kanan pipi, menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit.

"Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengendahkan arahan untuk memberhentikan kereta semasa perlanggaran kenderaan berlaku," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Tambahnya, semakan yang dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan didapati negatif.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini (Selasa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain