suria

Kos tunai haji meningkat, jemaah Muassasah B40 dan M40 pertama kali dapat subsidi... T20 kena bayar penuh RM30,850

Kos menunaikan haji meningkat pada tahun ini.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) meneruskan bantuan kewangan haji bersasar dan berkala untuk bakal jemaah Muassasah pada tahun ini meskipun terdapat peningkatan kos menunaikan haji.

TH menyediakan bantuan kewangan haji berjumlah lebih RM400 juta bagi menampung sebahagian daripada kos jemaah haji untuk 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kos haji bagi seorang jemaah Muassasah dianggarkan meningkat kepada RM30,850 pada tahun ini, berbanding RM28,632 pada tahun lepas.

"Pada musim haji tahun ini, kadar bayaran haji untuk jemaah Muassasah dalam kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM11,980 seorang, meningkat sebanyak RM1,000 berbanding tahun lepas.

"Walaupun ada peningkatan RM1,000 namun kerajaan akan menanggung kenaikan tersebut dan bakal haji kumpulan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang, sama dengan kadar tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.

jemaah haji 2

Beliau berkata, bagi seorang jemaah Muassasah yang pertama kali menunaikan haji dan dalam kumpulan M40, bayaran haji meningkat sebanyak RM3,000 kepada RM15,980 seorang.

Jelasnya lagi, bayaran penuh kos haji iaitu RM30,850 seorang ditetapkan bagi kumpulan T20.

Mereka yang merayu luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah juga perlu membayar penuh kos haji sebanyak RM30,850 seorang, melainkan rayuan sebagai mahram kepada jemaah atau rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia yang terpilih menunaikan haji.

Walaupun terdapat kenaikan bayaran haji itu, kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji (Hafis) sebanyak RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada kos haji, manakala kumpulan M40 akan menerima bantuan RM14,870 seorang atau 48 peratus daripada kos haji.

Mulai 2001, jemaah haji membayar sebahagian daripada kos untuk menunaikan haji manakala selebihnya ditanggung oleh TH melalui dana bantuan kewangan haji yang dijana daripada hasil pendapatan pelaburan.

jemaah haji 4

Menurut Amrin, kenaikan bayaran haji tahun ini seiring dengan peningkatan kos menunaikan haji dan tidak dapat dielakkan berikutan faktor-faktor di luar kawalan TH.

"Ini termasuk peningkatan kadar inflasi dan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 15 peratus, serta peningkatan caj bagi perkhidmatan di Arab Saudi dan kos pasca wabak Covid-19 serta pembangunan di Makkah dan Madinah yang memberi tekanan kepada kadar sewaan bangunan penginapan," katanya.

Sementara itu, Amri berkata surat tawaran haji akan ditawarkan kepada 31,600 jemaah haji bagi tahun 2023 bermula Rabu ini (22 Mac).

Bagi pemilihan jemaah haji, katanya TH mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada 2021 dan seterusnya 2022 dan 2023.

Rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac, dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain