suria

Gaduh sampai membunuh... Lelaki maut dibelasah 10 individu di luar pusat hiburan

Pergaduhan fizikal boleh menyebabkan kecederaan hingga membawa maut. - Gambar hiasan

SEORANG lelaki tempatan maut selepas dibelasah beramai-ramai oleh 10 individu di sebuah pusat hiburan sekitar Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mangsa lelaki berusia 29 tahun itu dipukul secara berkumpulan sekitar pukul 5 hingga 7 pagi.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 petang pada hari yang sama,” ujarnya menerusi kenyataan.

Ashari berkata, pergaduhan berpunca perselisihan faham antara mereka yang bermula dari dalam pusat hiburan tersebut.

“Perselisihan berterusan di luar pusat hiburan. Namun punca sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai polis daerah dan kontinjen menjalankan operasi khas sejak Sabtu hingga awal pagi Ahad bagi mengesan suspek.

“Kita berjaya menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 20 tahun hingga 37 tahun dan dua lelaki warga asing berusia 28 tahun hingga 43 tahun di sekitar Kuala Lumpur," katanya lagi.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan semua agar tidak membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi daripada kejadian ini. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain