suria

Padah baling botol arak, polis reman 2 individu

Lelaki ini melemparkan botol minuman keras ke lebuh raya dalam satu video di TikTok.

TUJUH individu ditahan berhubung adegan melemparkan botol minuman keras dari sebuah unit pangsapuri ke lebuh raya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata empat lelaki berumur antara 20 hingga 23 tahun dan dua lagi wanita berumur 23 tahun dan 31 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Penahanan dibuat pada Sabtu, 4 Februari dan pada awal pagi Ahad, 5 Februari.

"Hasil tangkapan, pihak polis merampas satu telefon bimbit dan sepasang pakaian. Kesemua mereka merupakan pekerja pusat hiburan. Dua daripada mereka yang ditahan akan direman sehingga Selasa, 7 Februari," katanya pada Ahad.

Menurut Noor Delhan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan, Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Seorang daripada semua yang ditahan didapati positif dadah jenis ketamin dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Noor Delhan menasihati sesiapa yang terkesan akibat insiden tersebut untuk membuat laporan polis sesegera mungkin.

"Kami menasihati orang awam untuk tidak terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil," katanya.

Terdahulu, satu video tular di TikTok yang memaparkan seorang individu mencampak botol minuman keras dari beranda sebuah unit pangsapuri ke lebuh raya berhampiran yang sedang sesak pada waktu puncak.

Insiden itu berlaku di Jalan Cendana di Kampung Baru. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain