suria

Pengakuan suspek kes bunuh di belakang banglo bawa kepada beberapa tangkapan lain

Lokasi lelaki warga India dipercayai ditanam kekasih isterinya di lereng bukit di belakang sebuah banglo di Subang Jaya.

PENGAKUAN seorang lelaki bahawa dia membunuh suami kepada wanita yang merupakan kekasih gelapnya telah membawa kepada beberapa tangkapan di sekitar Subang Jaya, Selangor.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata suspek berumur 25 tahun warganegara India membuat pengakuan mengenai pembunuhan itu pada Khamis.

"Pengakuan berkenaan dibuat di Ampang Jaya sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan soal siasat lanjut terhadap suspek.

"Suspek kemudian menunjukkan lokasi kejadian mangsa dibunuh pada Mei tahun lalu iaitu di lereng bukit di belakang sebuah banglo yang dijadikan sebagai pusat jagaan warga emas di Subang Jaya," katanya.

Suspek lelaki yang berusia 30 tahun dan isteri kepada mangsa ditahan pada hari yang sama dan kedua-duanya merupakan warganegara India.

Menurut suspek, mangsa dibunuh di pusat jagaan warga emas dan sehubungan itu, pemeriksaan pasukan foresnik menemukan bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut badan mangsa.

"Pada kira-kira jam 2.30 petang, 3 Februari, tiga lagi wanita ditahan. Suspek tersebut merupakan pekerja di pusat jagaan warga emas dan berumur di antara 25 hingga 35 tahun," ujarnya.

Siasatan awal mendapati suspek, mangsa dan isteri mangsa bekerja sekali di pusat jagaan warga emas tersebut.

Mangsa dibunuh pada Mei 2022 dan motif pembunuhan dipercayai disebabkan mangsa mengetahui hubungan sulit antara suspek dengan isterinya.

Wan Azlan menambah siasatan sedang dijalankan ke atas kes pembunuhan tersebut. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain