suria

Selepas 25 tahun, Anwar bakal ‘kembali’ ke Ibu Pejabat Umno

Anwar dijadual 'kembali' ke Ibu Pejabat Umno selepas kira-kira 25 tahun tidak menjejakkan kakinya di sana.

SELEPAS kira-kira 25 tahun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual 'kembali' ke Ibu Pejabat Umno di Menara Dato' Onn, pada Selasa malam.

Kehadiran Anwar untuk mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Anwar dipecat daripada Umno pada 3 September 1998 dan dipercayai sejak itu beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Memetik laporan Berita Harian, beliau bakal kembali untuk mesyuarat yang dijadualkan pada pukul 8.30 malam, yang akan dihadiri oleh pemimpin tertinggi Umno dan Barisan Nasional termasuk Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut dilaporkan bahawa pemimpin utama parti Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Warisan juga akan hadir.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, Ahmad Zahid memaklumkan mengenai penubuhan sekretariat itu, yang ditubuhkan bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan, dengan pejabat urusannya bertempat di Menara Dato' Onn.

Ahmad Zaid turut memberitahu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, akan mengetuai sekretariat berkenaan.

Sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang sudah disepakati.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain