suria

CarSifu, FMCCAM jalin kerjasama strategik teroka peluang baharu

Anthony Loke (berdiri, tengah) menyaksikan pemeterian MOU antara Yeow, Khoo dan Khor, bersama Datuk Tony Khor (berdiri, lima dari kanan).

CARSIFU, anak syarikat milik Kumpulan Media Star (SMG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) untuk bersama-sama meneroka peluang kerjasama.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Alex Yeow; Setiausaha Agung Kehormat FMCCAM, Khoo Kah Jin; dan Pengarah Urusan Kumpulan ezAuto Asia, Khor Lin Yong, yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Turut hadir menyaksikan majlis pemeteraian itu ialah Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor; Pengerusi Kumpulan Public Gold, Datuk Wira Louis Ng Chun Hau; Penasihat eAutoGen Capital Sdn Bhd, Tan Sri Richard Koh; dan Ketua Pegawai Eksekutif eAuto Sdn Bhd, Morvin Tan di HXC Grand Ballroom sempena sambutan ulang tahun ke-55 FMCCAM.

Alex Yeow berkata, MOU tersebut berperanan sebagai titik permulaan kepada kerjasama yang lebih strategik antara ketiga-tiga pihak.

"SMG merupakan salah satu organisasi media terkemuka di Malaysia dan sentiasa menjadi sumber rujukan berita yang boleh dipercayai dan maklumat terkini. FMCCAM pula berfungsi sebagai suara kepada pengedar kenderaan bermotor bebas Malaysia, menyediakan jualan dan perkhidmatan kepada pemandu dan perniagaan di Malaysia.

"Melalui kerjasama pelbagai pihak ini, CarSifu dan FMCCAM boleh memanfaatkan capaian dan ahli-ahli antara satu sama lain untuk membina ekosistem lengkap dalam semua perkara berkaitan automotif dan menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada pengguna," kata Alex Yeow.

Dengan bermulanya kerjasama ini, Alex Yeow memberitahu bahawa pengedar kereta akan dapat menghubungkan perniagaan mereka ke pasaran dengan lebih baik, meningkatkan pengalaman perkhidmatan dan kepuasan pembeli kenderaan, dan akhirnya memberikan pengalaman pembelian yang lancar untuk pengguna.

Tambah beliau, pengguna bersedia untuk menikmati platform sehenti bagi semua keperluan mereka dalam mendapatkan kereta pra-milik, mulai daripada perbandingan dan pemilihan, pemeriksaan yang boleh dipercayai dan pensijilan kualiti, insurans yang kompetitif, pinjaman dan jaminan lanjutan, pemindahan yang lancar dan banyak lagi.

"Kita boleh bersama-sama merapatkan jurang kepercayaan antara penjual dan pembeli, dan memacu masa depan industri automotif dan komuniti Malaysia ke hadapan," kata Alex Yeow.

Ditubuhkan pada tahun 1979, FMCCAM memberi fokus kepada memupuk keyakinan dalam kalangan pembeli yang ingin mendapatkan kenderaan terpakai serta melindungi pengedar kereta terpakai daripada risiko berkaitan.

Sehingga kini, FMCCAM terdiri daripada sembilan ahli persatuan negeri, termasuk 3,500 ahli berdaftar daripada 5,000 pengedar kenderaan bermotor bebas di seluruh negara.

Sementara itu, Tony pula berkata, pasaran kereta terpakai sentiasa berkembang dan cabaran yang dihadapi oleh pengedar kereta terpakai tidak pernah sama.

"Firma kereta antarabangsa dengan modal yang besar, sumber lebih baik dan platform dalam talian semakin menguasai pasaran di Malaysia dan ini menjejaskan bekalan kenderaan kami.

"Bagi menangani cabaran ini, kita harus memberi tumpuan kepada menawarkan perkhidmatan berkualiti, sebelum, semasa dan selepas jualan, untuk pembangunan mampan industri kereta pra-milik.

"Saya yakin kerjasama dengan CarSifu akan membantu FMCCAM dan rakan kongsi kami meningkatkan tahap dalam perkhidmatan kami dan meluaskan capaian kami kepada lebih ramai pengguna," katanya.

Sebagai contoh, Tony berkongsi bahawa FMCCAM bekerjasama dengan e-AutoGen untuk menyediakan program jaminan lanjutan yang menarik, yang turut membantu pengedar kekal berdaya saing.

Dengan harga serendah RM298 setahun, kereta itu dilindungi dari segi kerosakan yang disebabkan oleh sistem brek, kotak gear, dan enjin sehingga 16 tahun, selagi jarak perjalanan kereta di bawah 200,000 kilometer (km).

"Dengan tawaran inovatif ini ditambah dengan kekuatan SMG sebagai kumpulan media terkemuka, kami akan dapat membina platform penyelesaian sehenti untuk pembeli.

"SMG juga akan membolehkan industri kereta pra-milik memupuk pengalaman pelanggan pengedar yang lebih telus dan akhirnya memberi pembeli jaminan yang mereka perlukan semasa membuat pembelian," tambah beliau.

Antara lain yang turut menandatangani MOU itu ialah ezAuto Asia Sdn Bhd, platform dalam talian yang bertujuan untuk menghubungkan semua pemegang kepentingan kereta dalam pasaran yang telus dan bebas risiko, bermula dengan pengedar kereta dan pengguna akhir.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

CarSifu, Kumpulan Media Star, FMCCAM, MoU

Artikel Lain