suria

Panik tengok ribut pasir dekat hotel ketika tunai umrah, pemuda ini redah banjir menuju ke Tanaim - “Keajaiban di Tanah Suci”

Razif berdepan kejadian ribut pasir dan banjir ketika berada di tanah suci pada 27 Disember lalu.

HANGAT diperkatakan pada minggu lalu selepas tularnya foto memaparkan fenomena semula jadi yang dianggap jarang-jarang berlaku di Arab Saudi.

Menerusi imej satelit pada 7 Januari, negara itu yang terkenal dengan padang pasir yang gersang dan panas kelihatan berbeza apabila ia bertukar hijau selepeas menerima hujan berterusan sejak beberapa minggu lalu.

Difahamkan, taburan hujan yang tinggi direkodkan di Arab Saudi sejak Disember tahun lalu sehingga mengubah landskap di sekitar kota Makkah, Jeddah dan Madinah.

Mengenai fenomena alam itu, seorang rakyat Malaysia, Razip Dannial Riban berkongsi pengalamannya ketika menunaikan umrah di Tanah Suci dari 17 Disember sehingga 1 Januari lalu.

Dia yang menunaikan umrah bersama keluarga bukan sahaja berdepan kejadian ribut pasir, malah turut merasai fenomena banjir ketika bergerak menuju ke Tanaim, pada 27 Disember lalu.

"Lebih kurang 10 tahun lepas saya dah mengerjakan umrah. Ini umrah kedua saya. Kali ini saya ke sana dengan keluarga seramai enam orang, termasuk emak dan adik-beradik.

razif3

Razif ke Makkah bersama ibu serta ahli keluarga pada Disember 2022.

"Kejadian itu berlaku pada pukul 10 pagi, 27 Disember lalu. Kita kan nak buat umrah, kena keluar dari tanah haram. Pada waktu itu, kami dalam perjalanan nak ke Tanaim.

"Hotel saya berdekatan kawasan Masjidil Haram. Saya turun dari hotel tu, saya tengok ribut pasir sedang berlaku. Pasu pokok yang besar pun tumbang. Angin memang kuat. Tapi kami dah berada di tempat teksi, jadi kami tetap teruskan perjalanan.

"Kami naik teksi dan keluar dari kawasan hotel dengan ribut pasir dan hujan. Dalam perjalanan kami kena lalui banjir pula. Bila nak sampai Tanaim, air deras. Ada kereta yang parking tepi jalan dah tenggelam," imbasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Padang pasir kering dan tandus di kota Makkah bertukar hijau! Rumput subur akibat taburan hujan berterusan

Senang disapa Razif, dia akui sedikit risau memandangkan tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku, namun mereka sekeluarga lega apabila ditenangkan oleh pemandu teksi.

"Masa tu nampak air deras. Duduk dalam kereta pun boleh rasa arus air, mujur air tak masuk dalam kereta. Jadi panik sekejap. Kami lalu kawasan itu perlahan-lahan, memang melawan arus deras.

"Saya pun istighfar banyak-banyak, risau berlaku sesuatu di negara orang. Saya berbual dengan pemandu teksi, dia kata jangan risau. Ini perkara biasa katanya. Maksudnya, semua orang dah biasa dengan keadaan macam tu.

razif6

Teksi dinaiki Razif terpaksa meredah banjir dalam perjalanan ke Tanaim.

"Kami pun tak lama di Tanaim. Selepas solat dan juga niat, jadi kami patah balik ke tanah haram. Masa dalam perjalanan balik, masih ada banjir dan hujan, tapi sampai Makkah je hujan dah berhenti," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Razif berkata, dia menganggap pengalaman itu sebagai momen berharga yang akan dikenangnya sekeluarga sampai bila-bila.

"Keajaiban di Tanah Suci, walaupun hujan ribut tapi tak ada air bertakung. Mungkin sistem di sana canggih. Yang paling saya terkejut mereka kata ini perkara biasa sebab salah satu bencana alam ni adalah tanda-tanda akhir zaman.

razif

Razif merupakan pengusaha kek batik di Johor.

"Maksudnya dekat tempat tak ada taburan hujan pun mereka kata perkara biasa. Saya anggap kejadian itu sebagai dugaan tapi apabila saya ditenangkan oleh pemandu teksi yang memang penduduk tetap di sana, saya rasa itu adalah pengalaman.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya pun dah balik, target nak ke sana dalam tiga tahun. Dah tak sabar nak pergi lagi. Sampai tanah air je terus rasa rindu di sana," ujarnya.

Mengenai dirinya, Razif yang menetap di Johor merupakan bekas guru yang kini bergelar pengusaha makanan seperti kek batik dan sate.

Untuk tahun 2023, Razif juga merancang untuk membuka sebuah kafe berkonsepkan kek batik demi mengembangkan lagi perniagaannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain