suria

Awas pelabur Zuttelo, polis siasat kes tipu... Kerugian lebih RM80 juta!

Wakil MHO mengiringi mangsa selepas membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Sentul.

POLIS menerima 220 laporan membabitkan kerugian lebih RM84.57 juta berhubung penipuan pelaburan Zuttelo sejak Ogos 2022.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Norsiah Mohd Saaduddin berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sedang menjalankan siasatan berhubung penipuan itu.

“Sejak Ogos lalu, kita sudah menerima 220 laporan di seluruh negara membabitkan kerugian RM84,579,831.76.

“Kes itu kini disiasat kerana menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu mula mengutip pelaburan mulai 2020 sebelum laman web syarikatnya ditutup pada Ogos lalu.

“Semakan kami mendedahkan skim pelaburan menawarkan sembilan pakej pelaburan antara AS$630 (RM2,775) hingga AS$12,700 (RM55,956) bagi setiap pelaburan.

"Pelabur dijanjikan sekurang-kurangnya 16.5 peratus keuntungan setiap bulan.

"Mana-mana pelabur yang berminat perlu mendaftar melalui aplikasi dan diberi pilihan sama ada untuk melabur dalam bentuk wang tunai atau matawang kripto," katanya.

Sehubungan itu Norsiah menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan menjalankan semakan rapi melalui saluran rasmi seperti aplikasi “Semak Mule”, Senarai Makluman Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam mana-mana skim.

Dilaporkan bahawa beberapa pertubuhan bukan kerajaan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil berat tentang dakwaan penipuan pelaburan dalam talian yang menyebabkan lebih 10,000 mangsa dengan kerugian kira-kira RM3 bilion dalam tempoh dua tahun lalu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menerima aduan daripada ratusan mangsa yang menjadi mangsa penipuan itu.

"Kami difahamkan sindiket ini bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan majoriti mangsa terdiri daripada masyarakat Cina termasuk warga emas.

"Mangsa ditawarkan skim pelaburan pelbagai pakej termasuk disertakan dengan insurans dengan kadar pulangan dividen yang tinggi iaitu sekitar 17 peratus sebulan," katanya.

Beliau berkata pada mulanya sindiket itu menggunakan nama lain dan menyasarkan mangsa daripada masyarakat Cina namun menghentikan aktivitinya di bawah kendalian itu dan kini menggunakan nama berbeza menyasarkan mangsa Melayu dan India. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain