suria

Kecoh! Surat Ahmad Zahid kepada Agong bocor... Terang-terang sokong Anwar jadi PM10

Ahmad Zahid memaklumkan 30 Ahli BN meyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-10.

KETIKA semua pihak masih tertanya-tanya mengenai calon Perdana Menteri Malaysia ke-10, kecoh pula di media sosial mengenai sepucuk surat yang didakwa diutus oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi surat bertarikh 22 November 2022 itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) memutuskan bersetuju untuk menjalinkan kerjasama serta memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Barisan Nasional bersama-sama dengan 30 orang ahli Dewan Rakyat memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim untuk dinamakan dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10," demikian menurut surat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Raja-Raja mesyuarat esok, calon PM10 masih jadi teka-teki

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno turut memaklumkan bahawa salinan 30 Akuan Bersumpah Penamaan Perdana Menteri Malaysia Ke-10 dilampirkan bersama surat berkenaan.

"Patik juga ingin memaklumkan bahawa apa-apa dokumen bertulis sama ada dalam bentuk surat atau akuan oleh mana-mana 30 ahli Dewan Rakyat daripada BN atau daripada parti-parti komponennya yang menamakan seorang ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 selain daripada yang di atas, adalah tidak sah serta tidak patut dipertimbangkan yang mana ianya tidak mewakili dan menzahirkan keputusan Parti Barisan Nasional Malaysia," menurutnya lagi.

Untuk rekod, calon Perdana Menteri ke-10 masih belum dimuktamadkan sehingga kini.

Terdahulu pada pagi Rabu, 30 ahli Parlimen BN hadir ke Istana Negara untuk menghadap Al-Sultan Abdullah bagi membolehkan baginda membuat keputusan untuk melantik seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, sebagai Perdana Menteri.

Al-Sultan Abdullah juga akan mengadakan Perbincangan Khas dengan Raja-Raja Melayu pada Khamis bagi mendapatkan pandangan berhubung isu berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain